suria

Mahu buat vasektomi, bapa lima anak rancang ‘abadikan’ sperma terakhir dalam cincin untuk isteri

Seorang lelaki merancang untuk mengabadikan sperma terakhirnya dalam sebentuk cincin. Gambar sekadar hiasan/Foto Getty Images/EyeEm

SEORANG lelaki yang mempunyai lima anak membuat persiapan untuk melakukan vasektomi pada akhir November, iaitu salah satu kaedah perancangan keluarga.

Bagaimanapun, dia berharap untuk 'mengabadikan' sperma terakhirnya itu sebelum ia menjadi kepingan barang kemas.

Cincin itu akan dijadikan sebagai hadiah Krismas buat isterinya, sekiranya dia dapat melakukannya tepat pada masanya.

Bapa yang berpangkalan di London, United Kingdom itu berkata, dia dan isterinya sentiasa membuat gurauan antara satu sama lain dengan pelbagai hadiah yang pelik.

Bagi memastikan ideanya menjadi realiti, lelaki berkenaan menghubungi satu laman web tempatan Bark.com.

Dia berkata: "Saya mencari tukang emas yang boleh memasukkan sperma saya ke dalam sebentuk cincin yang akan dijadikan sebagai hadiah Krismas untuk isteri saya.

"Saya tahu ia sangat pelik, tapi saya bakal melakukan vasektomi pada akhir November dan saya mahu melakukan sesesuatu yang lucu dengan beberapa sperma terakhir yang saya ada.

"Ia juga sebagai kenang-kenangan buat saya sebagai seorang lelaki," katanya.

"Rancangannya adalah memberikan cincin kepada isteri saya pada Hari Krismas, tunggu sampai dia kata ia cantik dan pakai selama beberapa jam.

"Kemudian barulah saya beritahu dia cincin itu diperbuat daripada apa," tambahnya. - Mirror



sperma, cincin, Krismas, vasektomi

Artikel Lain