suria

Bapa maut ditembak ketika baca buku, kanak-kanak 6 tahun jadi mangsa kedua remaja amuk

Osborne mengaku bersalah membunuh bapa dan seorang kanak-kanak lelaki.

SEORANG remaja lelaki menembak bapanya sehingga mati kemudian pergi ke sekolah rendah dan membunuh seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.

Jesse Osborne mengaku bersalah atas kesalahan membunuh semasa sesi perbicaraan di sebuah mahkamah pada Rabu lalu.

Mahkamah diberitahu bagaimana Osborne yang kini berusia 16 tahun menyertai sebuah kumpulan Instagram rahsia sebelum mengamuk pada September 2016 di mana dia merancang untuk membunuh lebih ramai kanak-kanak.

"Saya fikir saya mungkin membunuh sekitar 50 hingga 60 orang. Jika saya bernasib baik mungkin 150 orang," katanya.

Osborne turut berkongsi mengapa dia memilih kanak-kanak sebagai mangsa.

"Sekolah menengah diawasi ramai polis. Sekolah rendah tidak," katanya.

Ibu bapa kepada Osborne, Jeffrey dan Tiffany. Bapanya maut selepas terkena tiga tembakan di belakang kepala.

Osborne yang berusia 14 tahun ketika kejadian terlebih dahulu menembak ayahnya, Jeffrey Osborne di belakang kepala sebanyak tiga kali ketika mangsa sedang duduk di kerusi sambil membaca buku.

Jelas remaja itu, dia berbuat demikian kerana mahu menggunakan trak pikap bapanya ke Sekolah Rendah Townville dan melancarkan rancangannya selepas itu.

Sebaik tiba, trak pikap yang dipandunya merempuh pagar padang permainan sebelum melepaskan tembakan ke arah sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain ketika waktu rehat.

Jacob Hall, 6, ditembak di kaki dan meninggal akibat kehilangan banyak darah tiga hari kemudian.

Selepas kejadian, Osborne dikatakan membuang pistolnya dan meraung meminta maaf.

"Saya minta maaf! Saya minta maaf!," katanya ketika ditahan seorang anggota bomba sukarela.

Osborne berdepan sekurang-kurangnya hukuman penjara selama 30 tahun tanpa diberikan parol. - Metro.co.uk

tembak

Artikel Lain