suria

Hotel tak benarkan pasangan kekasih satu bilik

Gambar hiasan.

MUMBAI: Seorang wanita dan teman lelakinya tidak dibenarkan menginap di sebuah hotel bajet di Andheri di Mumbai, India pada Sabtu lalu selepas kakitangan hotel mendapati kedua-dua mereka belum berkahwin.

Pasangan itu turut diberikan bayaran balik menerusi tempahan untuk sebuah bilik yang telah dibuat mereka secara dalam talian sebulan lebih awal.

Mereka diberitahu bahawa hotel tersebut mengamalkan polisi "tiada pasangan kekasih".

Wanita warga India itu berusia 23 tahun berasal dari Delhi, India manakala teman lelakinya yang berumur 31 tahun merupakan warga Amerika Selatan, kedua-duanya menyambung pengajian di United Kingdom (UK).

Mereka kemudian memutuskan untuk bercuti di India.

"Ini merupakan lawatan pertamanya ke India," kata wanita itu mengenai teman lelakinya.

"Kakitangan hotel memberitahu kami tidak dibenarkan menginap kerana kami adalah pasangan kekasih," katanya selepas menunjukkan dokumen pengenalan diri mereka kepada kakitangan hotel.

Kakitangan hotel kemudian menunjukkan notis di kaunter menyambut tetamu bahawa pasangan kekasih tidak dibenarkan menginap di premis itu.

"Sebelum ke Mumbai, saya dan teman lelaki telah berkunjung ke Delhi, Jaipur dan Udaipur, tetapi kami tidak berdepan dengan masalah seperti ini di hotel di sana.

"Kami dah periksa bahawa tiada undang-undang di mana-mana negeri di India yang melarang pasangan tidak berkahwin daripada menempah bilik hotel," kata wanita itu.

Seorang jurucakap hotel tersebut berkata: "Kami dimaklumkan mengenai keadaan itu telah menyebabkan kesulitan kepada tetamu. Kami cuba membantu mereka sebaik mungkin." - Times of India


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain