suria

Kontroversi Data Pengguna: Zuckerberg Kesal, Mengaku Kesilapan Facebook

MARK Zuckerberg, dalam komen pertamanya sejak syarikat itu berdepan kontroversi data dan privasi pengguna Jumaat lalu mengakui Facebook telah membuat kesilapan dan menggariskan perancangan untuk mengembalikan kepercayaan pengguna.

Isu ini membabitkan Cambridge Analytica, sebuah firma analisa data politik, berpengkalan di United Kingdom yang diupah oleh kempen Trump pada 2016 dan menguasai data 50 juta pengguna Facebook tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.

Zuckerberg dalam satu kenyataan dalam posting Facebooknya pada Rabu berkata: "Saya telah berusaha memahami apa yang telah berlaku dan bagaimana untuk memastikan ini tidak berlaku lagi.

"Berita baiknya adalah tindakan yang paling penting untuk menghalangnya daripada berlaku lagi hari ini, telah diambil beberapa tahun lalu.

"Tetapi kami juga membuat beberapa kesilapan, ada banyak lagi yang perlu dibuat dan kami perlu meningkatkannya serta melakukannya."

Zuckerberg beerkata Facebook pertama sekali akan menyiasat semua aplikasi yang mempunyai akses kepada 'jumlah maklumat yang besar' sebelum mengubah polisinya pada 2014 untuk mengurangkan akses data.

Kedua, Facebook akan menyekat akses data pemaju 'lebih jauh lagi' untuk menghalang penyalahgunaan lain.

Sebagai contoh, ia akan membuang keupayaan pemaju untuk mengakses data pengguna jika pengguna Facebook tidak menggunakan aplikasi mereka dalam masa tiga bulan.

Ketiga, dalam bulan berikutnya, Facebook akan memaparkan satu 'tool' di bahagian atas News Feed dengan aplikasi yang pengguna telah guna dan cara mudah untuk membatalkan kebenaran aplikasi tersebut untuk data anda.

Paparan skrin video temuramah bersama CNN.

Selepas menulis posting tersebut, Zuckerberg dalam satu temuramah eksklusif bersama CNN pada Rabu berkata: "Saya sangat kesal atas apa yang berlaku.

"Saya harap kami dapat mengambil langkah-langkah lebih awal. Apa yang berlaku, mungkin kesilapan terbesar yang kami buat di sini," katanya.

Facebook berkata penyelidik University of Cambridge, Aleksandr Kogan yang membekalkan data itu ke Cambridge Analytica selepas memperolehnya menerusi satu aplikasi pada 2013 telah berbohong kepada Facebook dan melanggar dasarnya.

Pada 2015, Facebook menuntut Cambridge Analytica dan Kogan 'mengesahkan secara rasmi bahawa mereka telah memadam semua data yang diperolehi secara tidak wajar'.

Walau bagaimanapun, apabila mengetahui bahawa Cambridge Analytica mungkin tidak memadam semua data pengguna Facebook yang berkenaan, Facebook pada 16 Mac telah menyekat Cambridge Analytica dan syarikat induknya daripada menggunakan platformnya.

Facebook menyatakan ia tidak lagi membenarkan aplikasi pihak ketiga mendapatkan data dengan cara yang dilakukan dalam kes ini.

"Ini adalah perlanggaran kepercayaan antara Kogan, Cambridge Analytica dan Facebook," tulis Zuckerberg.

"Tetapi ia juga merupakan perlanggaran kepercayaan antara Facebook dan orang ramai yang berkongsi data mereka dengan kami dan mengharapkan kami untuk melindunginya. Kami perlu memperbetulkannya."

ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas WhatsApp Kata 'Sudah Tiba Masanya Padam Facebook'

Skandal itu telah menimbulkan gesaan pembaharuan amalan pengendalian data Facebook daripada penggubal undang-undang dan pengawal selia, selain sesetengah pengguna menggesa aplikasi itu diboikot melalui kempen #DeleteFacebook.

Saham Facebook juga jatuh menjunam beberapa hari sebelum pulih pada Rabu.

Sikap rendah diri Zuckerberg dalam kes Cambridge Analytica sejak beberapa hari dapat dilihat dengan jelas.

Ketua pegawai eksekutif itu dilaporkan tidak mengambil bahagian dalam sesi soal jawab dengan pekerja pada Selasa dan moral di Facebook dikatakan berada pada tahap yang rendah.

Akan datang, Facebook berdepan pertanyaan daripada Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan, yang akan melihat sama ada syarikat sosial media itu melanggar satu perjanjiannya pada 2011 dengan agensi yang memerlukan persetujuan pengguna terhadap pendedahan data peribadi.

Pada ketika ini, tidak jelas sama ada isu ini akan membawa kepada undang-undang atau peraturan kerajaan yang baharu.

Beberapa penganalisis Wall Street percaya Facebook akan menghadapi 'ribut' dan mereka menjangkakan impak jangka panjang yang minimum terhadap keseluruhan perniagaan iklan perniagaan internet. -Variety

Mark Zuckerberg, data pengguna

Artikel Lain