suria

Akihito Turun Takhta Mac 2019

TOKYO: Maharaja Akihito dijangka turun takhta pada akhir Mac 2019 dan seterusnya, Putera Mahkota Naruhito akan mewarisinya pada April tahun sama.

Ia adalah tindakan yang pertama kali dilakukan monarki Jepun dalam tempoh dua abad, lapor akhbar Asahi pada Jumaat.

Kerajaan kini dalam proses akhir untuk memuktamadkan tarikh untuk upacara bersejarah itu, lapor Asahi, memetik beberapa sumber.

Tahun lalu, menerusi kenyataan yang dikeluarkanya, Ahikito, 83, yang pernah menjalani pembedahan jantung dan rawatan barah prostat memaklumkan bahawa beliau bimbang sukar untuk meneruskan tugasnya.

Beliau akan digantikan dengan Naruhito, 57, dan era baru akan bermula pada 1 April, lapor Asahi.

Tarikh jangkaan dapat meminimumkan kesan ke atas rakyat dalam perubahan kepada pemerintah diraja baru dari Era Heisei, yang bermula pada 1989 selepas kematian bapa Akihito iaitu Hirohito.

Majlis Diraja juga mahu peralihan diadakan pada musim bunga 2019 kerana banyak upacara keagamaan dijadualkan bagi keluarga diraja pada musim luruh dan sejuk.

Akihito, maharaja Jepun pertama yang tidak dianggap suci, bertugas beberapa dekad di dalam dan luar negara untuk mengurangkan duka Perang Dunia Kedua yang dilancarkan atas nama bapanya. - Reuters


Akihito, Jepun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain