suria

Pemenang Hadiah Nobel 'Diserang' Pakai Jeans, But

MALALA Yousafzai telah memulakan kehidupannya di Universiti Oxford, tetapi menjadi sasaran hanya kerana dia dilihat memakai 'jeans', kasut but tinggi dan jaket tebal ketika minggu pertama di kampus.

Pemenang hadiah Nobel itu yang hampir maut di tangan seorang lelaki bersenjata Taliban kerana bercakap mengenai hak pendidikan wanita, telah dikritik kerana memakai seluar jeans ketat, bukan seluar panjang longgar yang biasa dipakainya sebelum ini.

Dalam sekeping gambar yang tidak dapat disahkan yang diterbitkan di Pakistan, aktivis berusia 20 tahun itu kelihatan memakai jeans mengikut potongan kaki, kasut but atas buku lali dan jaket tebal.

Jika dia berharap dapat menyelinap masuk dalam kehidupan sebagai pelajar di Oxford tanpa mahu namanya didedahkan kepada rakan-rakannya, hasratnya itu terpaksa dilupakan gara-gara pengkritik di negara asalnya, Pakistan.

Dia menjadi sasaran penyalahgunaan gambar walaupun memelihara auratnya dengan menutup rambut dengan kain 'duppata' sama seperti dilakukannya sejak dia tiba di Britain lima tahun lalu.

Satu mesej menyakitkan hati yang dipaparkan di Twitter dan diterbitkan semula dalam media Pakistan ditulis: "Itulah sebabnya peluru itu terus menyasarkan kepalanya tidak lama dahulu."

Satu lagi mesej kebencian berkata: "Lihatlah si hipokrit Malala memakai seluar! Adakah dia seorang Muslim?"

Mesej ketiga berkata: "Mahukan hadiah Nobel dan masuk ke Oxford University? Langkah 1: ditembak...begitu banyak sokongan untuk hak wanita lol."

-fotoAP

Kata-kata pedas buat wanita muda ini yang telah menyatakan bahawa pada suatu hari dia ingin memimpin negaranya sebagai perdana menteri, menyebabkan kemarahan di kalangan penyokong.

Penyampai BBC Anita Anand memberitahu MailOnline: "Setahu saya Malala boleh memakai apa sahaja yang dia suka.

"Kritikan datang dari pihak yang paling regresif, dan saya ragu apa yang akan dilakukan untuk menyenangkan mereka.

"Saya berharap dia jangan sesekali mencuba. Semua rakan-rakan Pakistani saya bersetuju dengan sentimen itu.

"Dia seorang heroin dan menjadi contoh. Desakannya terhadap pendidikan telah membawanya ke salah satu pertubuhan pembelajaran terbaik di dunia. Dia tidak mengalah walaupun pelampau cuba menembaknya."

Seorang lagi peminat Arsalan Ahmed Jaraal dari Khyber Pakhtunkhwa, dekat sempadan Pakistan - Afghanistan berkata di Twitter: "Apa yang Malala pakai di UK, cukup biasa di Pakistan juga. Berhenti buat kecoh. Biarkan orang lain bebas menjalani kehidupan mereka."

Hadiah Nobel, Malala Yousafzai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain