suria

Gempa: Mexico Berkabung Tiga Hari

Pasukan mencari dan menyelamat serta anggota bomba menemui mayat mangsa bencana gempa bumi di kota Mexico.

MEXICO: Presiden Mexico Enrique Pena Nieto pada Rabu mengisytiharkan negara berkabung selama tiga hari sebagai menghormati lebih 200 mangsa yang terkorban dalam bencana gempa bumi, lapor agensi berita China Xinhua.

Pengumuman itu dibuat pejabat presiden menerusi Twitter.

Gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda tengah Mexico pada Selasa.

Sejak hari kejadian jumlah kematian berterusan meningkat dan sebanyak 38 bangunan di Bandaraya Mexico runtuh, anggota penyelamat yang ditugaskan menemui mayat tertimbus di bawah runtuhan.

Pihak berkuasa Bandaraya Mexico berkata, 93 orang disahkan maut di ibu negara.

"Itu adalah angka rasmi yang kami perolehi," kata Datuk Bandar Miguel Angel Mancera kepada pemberita pada sidang akhbar.

Seramai 52 orang lagi ditemui terselamat di bawah runtuhan, katanya.

Ketua Agensi Perlindungan Awam, Luis Felipe Puente berkata, jumlah kematian terkini setakat tengah hari Rabu ialah seramai di 223 orang.

Gempa pertama dilaporkan adalah paling kuat menggegarkan Mexico sejak hampir 100 tahun dan kedua terkuat melanda Bandaraya Mexico dalam tempoh 30 tahun.

Kejadian pada Selasa itu jatuh pada ulang tahun ke-32 bencana sama berlaku pada 1985 yang mengorbankan ribuan penduduk di bandar raya berkenaan.-- Bernama


Mexico, Nieto

Artikel Sebelum

Restoran Mewah Dalam Penjara?

Artikel Berikut

Pengasuh Dari Neraka!

Artikel Lain