suria

Ditetak, Ditembak Sampai Mati

Kamal menyaksikan pembunuhan beramai-ramai etnik Islam Rohingya di Kampung Aung Sit Pyin bulan lalu.

RAKHINE: Sekumpulan lelaki membawa parang dan tong petrol telah menyerang etnik Islam Rohingya yang dikepung tentera Myanmar dalam sebuah masjid.

Insiden berdarah yang mencemaskan itu diceritakan beberapa saksi etnik berkenaan baru-baru ini.

“Mereka yang lari ditetak sampai mati. Mereka berjaya melarikan diri pula ditembak oleh askar Myanmar,” kata guru yang dikenali sebagai Kamal.

Lelaki berusia 53 tahun ini adalah antara penduduk yang terselamat dalam insiden pembunuhan beramai-ramai di Kampung Aung Sit Pyin dalam negeri Rakhine.

“Mereka membakar rumah-rumah. Kami lari untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.

Kamal berkata, dia melihat tiga jiran termasuk seorang bapa dan anak lelakinya ditetak ketika melarikan diri.

Susulan insiden ngeri itu mereka berjalan 10 hari merentasi bukit, sungai dan padang menuju ke Bangladesh.

Wawancara bersama kira-kira 10 orang dari kampung tersebut yang berlindung di Kem Balukhali, Bangladesh membongkar kisah ngeri yang berlaku di Aung Sit Pyin pada 25 Ogos lalu.

Pada hari tersebut, pemberontak Rohingya menyerang pos-pos polis di Rakhine sehingga mencetuskan operasi pembersihan yang sehingga kini memaksa hampir 300,000 daripada 1.1 juta penduduk Islam Rohingya di Rakhine melarikan diri ke Bangladesh.

Etnik minoriti Islam itu menuduh tentera Myanmar dan penduduk beragama Buddha bertanggungjawab ke atas pembunuhan berleluasa di Rakhine. – AFP


Rohingya, Rakhine

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Air Laut Tiba- Tiba Hilang?

Artikel Lain