suria

Robot Burung Bantu Belajar B. Inggeris

HAMAMATSU: Pemaju perisian pendidikan Jepun CAI Media Co, baru-baru ini membangunkan robot berbentuk burung yang dilengkapi teknologi canggih dan kecerdasan buatan, untuk pengguna yang ingin belajar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Menggunakan kemudahan cloud, robot dikenali Charpy boleh bertindak balas dengan pengguna menerusi perbualan secara semulajadi berdasarkan keperluan dan tahap kemahiran bahasa Inggeris, lapor agensi berita Jepun Jiji Press.

"Kami berharap Charpy dapat membantu pengguna mengatasi kesulitan dalam aspek perbualan," kata Presiden CAI Media Mitsunori Fukuchi.

Menurut syarikat itu, watak Charpy direka sebagai burung kecil yang sukakan coklat, berkomunikasi dengan suara tiruan seperti kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.

Ia diprogramkan dengan 1,000 frasa perbualan dan bilangan pola perbualan boleh meningkat tanpa had menerusi capaian Internet.

Menurut Fukuchi, robot berkenaan boleh mengendalikan pelbagai peringkat tahap kemahiran bahasa Inggeris bermula daripada paling rendah hingga tahap tertinggi.

Dilengkapi dengan kamera, robot dapat mengenali rakan perbualannya dan ekspresi muka selain boleh mengguna pakai maklumat perbualan terdahulu.

Tempahan awal boleh dibuat secara dalam talian dan penghantaran bermula pada pertengahan Oktober atau mungkin lebih awal.

Harga ditetapkan pada 42,984 yen manakala perkhidmatan Cloud ditawarkan 864 yen sebulan.

 -Bernama
Charpy, CAI Media Co

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Sucinya Hati Lelaki ini...

Artikel Lain