suria

Orang Tua Jadi Korban Demi Dapat Pampasan

PENDUDUK kampung dekat Pusat Pemuliharaan Harimau di Uttar Pradesh sanggup mengorbankan orang tua mereka untuk dibaham harimau demi mendapatkan wang pampasan. - GAMBAR HIASAN

DISEBABKAN kesempitan hidup, penduduk kampung yang tinggal berdekatan kawasan Pusat Pemuliharaan Harimau Pilibhit di India, sanggup melakukan taktik keji demi mendapatkan wang.

Perkara itu didedahkan oleh laporan media tempatan yang menyebut, penduduk miskin di kampung berkenaan sanggup mengorbankan saudara mereka yang sudah tua sebagai makanan harimau sebelum mereka memohon pampasan daripada kerajaan.

Taktik keji itu dikesan oleh pegawai Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCCB) di Uttar Pradesh yang menyiasat beberapa kes manusia dibaham harimau di kawasan hutan tersebut.

Dalam kes terbaharu pada 1 Julai lalu, mayat seoran wanita berusia 55 tahun telah ditemui di padang berdekatan kampungnya, tetapi pakaiannya dijumpai satu kilometer dari hutan simpan itu dan kesan pergerakan traktor keluar masuk ke dalam hutan turut ditemukan.

Kesan tayar traktor itu membuktikan bahawa mayat wanita tersebut telah digerakkan dari kawasan kampung ke dalam hutan untuk diberi makan kepada harimau.

Harimau yang ditempatkan di Pusat Pemuliharaan Pilibhit dibenarkan bergerak bebas dan sekiranya manusia memasuki kawasan mereka dan berlaku kematian, pampasan tidak akan diberikan.

Tetapi, jika mereka diserang di luar kawasan harimau, keluarga mangsa akan menerima wang yang banyak dari kerajaan.

Disebabkan kes kematian yang banyak dilaporkan berkaitan serangan harimau ke atas orang tua dari kawasan perkampungan berdekatan hutan simpan iaitu tujuh kematian sejak Februari, pihak berkuasa hidupan liar mula mengesyaki terdapat perkara yang aneh berlaku.

Selepas mengumpul bukti, orang kampung dituduh menghantar warga tua mereka ke dalam hutan untuk dibunuh oleh harimau, supaya mereka mendapat pampasan dari kerajaan.

Tanpa menafikan tuduhan tersebut, penduduk tempatan berkata bahawa mangsa-mangsa telah menawarkan diri untuk dibunuh demi membantu kehidupan keluarga mereka.

“Disebabkan mereka tidak dapat mengambil sumber dari hutan, itu adalah satu-satunya cara keluarga mereka dapat keluar dari kemiskinan,” kata seorang petani, Jarnail Singh, 60, kepada The Times of India.

Kalim Athar, pihak berkuasa WCCB yang melakukan siasatan sebelum membuat keputusan mengejut itu, telah menghantar sebuah laporan dan memberitahu wartawan bahawa perkara itu telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pemuliharaan Harimau Negara untuk tindakan lanjut. - ODDITY CENTRAL

India, Harimau

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain