suria

Hamas, Fatah Bersatu Bentuk Kerajaan Perpaduan

RAMALLAH: Pihak Berkuasa Palestin (PLA) yang didominasi pergerakan Fatah, bersetuju untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan pergerakan Hamas.

Menurut laporan portal Al Jazeera, persetujuan itu dicapai lewat Selasa selepas kedua-dua pihak mengadakan perbincangan selama tiga hari di ibu negara Rusia, Moscow.

Dua pertubuhan berkenaan akan membentuk kerajaan perpaduan yang dinamakan sebagai Majlis Kebangsaan.

Susulan pembentukan kerajaan baharu itu, satu pilihan raya umum akan diadakan dan rakyat Palestin yang hidup dalam buangan juga dibenarkan bertanding.

"Kejayaan yang dicapai berdasarkan inisiatif ini adalah yang paling terbaik," kata pegawai kanan Fatah, Azzam al-Ahmad.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan secara terperinci tentang perjanjian tersebut termasuk tarikh pilihan raya dan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua pihak.

Pergerakan Fatah menguasai wilayah Palestin di Tebing Barat manakala kumpulan Hamas meneraju kepimpinan di Semenanjung Gaza.

Perjanjian tersebut turut melibatkan kumpulan pejuang Islamid Jihad yang tidak menyertai rundingan sejak sekian lama.

Hamas dan Fatah terlibat dalam pertelagahan selepas pilihan raya umum pada 2006 serta hampir mencetuskan perang saudara setahun kemudian.

Pergerakan Fatah memenangi pilihan raya tersebut dan PLA kini dipimpin oleh Presiden Mahmoud Abbas manakala pemimpin Hamas, Khaled Mashal mentadbir wilayah Gaza.

Fatah, Hamas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain