suria

Aplikasi Daesh Ajar Kanak-Kanak Lancar Serangan Pengganas

Aplikasi yang dinamakan sebagai Huroof mengajar kanak-kanak tentang senjata.

MILITAN Daesh dipercayai membangunkan aplikasi yang membolehkan penggunanya mengulangi serangan seperti yang berlaku pada  11 September 2001 ke atas mercu tanda negara Barat termasuk menara jam terkemuka di London, Big Ben.

Aplikasi terbabit yang dicipta khas untuk mengajar kanak-kanak yang tinggal di kubu kuat militan Daesh di Syria dan Iraq, turut mengajar golongan kecil berkenaan mengeja perkataan seperti grenad dan roket.

Perkara itu didedahkan oleh jurucakap tentera pakatan antarabangsa yang memerangi Daesh, Kolonel John Dorrian tentang aplikasi yang dinamakan sebagai Huroof atau perkataan yang baru-baru ini dikemaskini untuk membolehkan penggunanya memusnahkan Patung Liberty di Amerika Syarikat (AS) dan Menara Eiffel di Paris secara maya.

Menurut Dorrian, kanak-kanak yang tinggal di kawasan jajahan Daesh perlu menjalani proses diradikalisasi selepas golongan tersebut telah diajar tentang keganasan.

"Kanak-kanak terbabit boleh memilih sasaran untuk diserang sebagai ganjaran jika mereka menguasai ilmu yang diajar menerusi aplikasi berkenaan.

"Antara sasaran tersebut adalah mercu tanda negara Barat dan kanak-kanak terbabit boleh menggunakan pelbagai jenis senjata termasuk pesawat komersial," katanya.

Sebelum ini, militan Daesh menyiarkan beberapa siri video yang menunjukkan kanak-kanak lelaki mengambil bahagian dalam pelaksanaan hukuman mati terhadap tahanan termasuk penggunaan senjata.

Daesh

Artikel Lain