suria

Remaja Puerto Rico Berusia 19 Tahun Dinobat Ratu Cantik Dunia

Stephanie Del Valle (tengah) bergambar bersama Ratu Cantik Republik Dominica, Yaritza Miguelina Reyes Ramirez (kiri) dan Ratu Cantik Indonesia, Natasha Mannuela pada pertandingan Ratu Cantik Dunia 2016 di Washington pada 18 Disember 2016. - REUTERS

NEW YORK: Remaja berusia 19 tahun dari Puerto Rico, Stephanie Del Valle merangkul gelaran Ratu Cantik Dunia 2016, sekali gus memenangi pertandingan edisi ke-66 yang diadakan di Amerika Syarikat pada tahun ini.

Tempat kedua dimenangi oleh Yaritza Miguelina Reyes Ramirez dari Republik Dominica manakala wakil Indonesia Natasha Mannuela menduduki tempat ketiga.

Lebih 100 ratu cantik dari seluruh dunia menyertai pertandingan tersebut yang berlangsung di National Harbor dekat Washington.

Del Valle berkata, kemenangan tersebut merupakan satu penghormatan dan tanggungjawab yang besar buat dirinya mewakili Puerto Rico.

Sebelum ini, remaja itu memenangi pertandingan ratu cantik di negaranya dengan merangkul gelaran Miss Mundo de Puerto Rico.

Del Valle memiliki kelebihan berkomunikasi dalam tiga bahasa iaitu Sepanyol, Inggeris dan Perancis serta berharap untuk menceburi dalam industri hiburan.

Upacara penyerahan mahkota dilakukan oleh Ratu Cantik Dunia 2015, Mireia Lalaguna dari Sepanyol dan Del Valle menjadi rakyat kedua Puerto Rico melakar kejayaan tersebut selepas Wilnelia Merced memenangi gelaran sama pada 1975.

Selain itu, Puerto Rico menjadi negara ke-17 yang memiliki lebih daripada satu pemenang sejak pertandingan Ratu Cantik Dunia diperkenalkan pada 1951. - REUTERS

Artikel Lain