suria

Ketua Menteri Tamil Nadu Meninggal Dunia

CHENNAI: Salah seorang daripada ahli politik yang paling popular di India, Jayalalithaa Jayaraman meninggal dunia pada Isnin berikutan serangan jantung.

Parti politik dan hospital di mana beliau dirawat mengesahkan bekas pelakon filem popular dan Ketua Menteri Tamil Nadu di selatan India yang dikenali sebagai "amma" atau "ibu" itu telah meninggal dunia pada usia 68 tahun.

"Pemimpin yang kita cintai, The Iron Lady of India sudah tidak ada lagi," demikian menurut tweet parti AIADMK yang diwakilinya iaitu parti ketiga terbesar dalam Dewan Rakyat India di New Delhi.

Sebagai pemimpin yang berkarisma, beliau disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri India pada masa depan.

Jayalalithaa mengalami serangan jantung pada malam Ahad demikian menurut , Hospital Apollo di Chennai.

Beliau juga pernah dimasukkan ke hospital kerana demam dan dehidrasi pada September lalu.

Walaupun diberikan alat bantuan hayat, "keadaan kesihatannya membuatkan beliau gagal pulih dan beliau disahkan meninggal dunia pada pukul 11.30 malam," demikian menurut hospital itu dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Narendra Modi menyifatkan kematian Jayalalithaa sebagai kehilangan besar dalam politik India.

"Sikap Jayalalithaa yang dekat dengan rakyat, prihatin terhadap kebajikan golongan miskin, wanita dan terpinggir akan sentiasa menjadi sumber inspirasi," kata Modi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain