suria

Ketua Menteri Tamil Nadu Masih Hidup - Hospital

J Jayalalithaa.

CHENNAI: Hospital Apollo di sini menafikan dakwaan bahawa Ketua Menteri Tamil Nadu,  J Jayalalithaa telah meninggal dunia.

Sebaliknya, mereka mendakwa bekas pelakon popular itu masih menerima rawatan di hospital berkenaan.

Justeru, pihak hospital tersebut menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai palsu dan tidak berasas.

Terdahulu, bendera parti Jayalalithaa dilihat dikibarkan separuh tiang di ibu pejabat di Chennai dalam masa beberapa minit selepas sekurang-kurangnya tiga stesen televisyen tempatan, termasuk Jaya TV, melaporkan pemimpin berusia 68 tahun itu sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun bendera itu dinaikkan semula selepas Hospital Apollo mengesahkan Jayalalithaa masih hidup tetapi keadaannya kritikal.

"Ketua Menteri masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan di Hospital Apollo. Pakar berterusan memantau rapi keadaannya.

"Beberapa saluran televisyen tersalah melaporkan beliau sudah meninggal dunia. Ia tidak berasas dan palsu. Mereka dinasihatkan supaya memperbetulkan kesilapan itu, berdasarkan siaran akhbar ini," kata Ketua Pegawai Operasi Hospital Apollo, S Viswanathan.

Kesihatan Jayalalithaa masih kekal kritikal sepanjang Isnin, dengan doktor berusaha membantu beliau untuk sedar selepas mengalami serangan jantung pada petang Ahad.

Beliau dilaporkan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Pada awal pagi Ahad, partinya, AIADMK, mengumumkan beliau sudah disahkan sihat oleh pasukan pakar perubatan.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian beliau dipindahkan ke unit rawatan kritikal (CCU) di hospital terbabit selepas diserang sakit jantung.

Kaedah angioplasti dijalankan pada Isnin untuk membetulkan saluran darahnya. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain