suria

Perbicaraan Ahok Disiar Secara Langsung Di TV

JAKARTA: Perbicaraan terhadap Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang didakwa atas tuduhan menghina agama Islam bermula 13 Disember ini akan disiarkan secara langsung di televisyen.

Jurucakap mahkamah di sini, Hasoloan Sianturi berkata, perbicaraan itu dijadualkan berlangsung di Pengadilan Negeri Jakarta Utara dan terbuka kepada orang ramai.

“Tarikh itu ditetapkan selepas senarai lima hakim yang dipilih untuk mendengar kes berkenaan dimuktamadkan,” katanya sambil menambah perbicaraan dijadual bermula pada jam 9 pagi (waktu tempatan).

Hasoloan  berkata, pihaknya juga telah menghubungi pihak polis untuk mengawal keadaan di mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung nanti.

Basuki atau lebih dikenali sebagai Ahok didakwa atas tuduhan menghina agama selepas mendakwa lawannya menggunakan ayat al-Quran untuk menipu orang ramai supaya tidak mengundinya.

Ahok yang bertanding dalam pilihan raya gabenor pada Februari depan adalah gabenor Jakarta kedua beragama Kristian dan yang pertama daripada etnik Cina.

Dia dijangka mempertahankan jawatannya itu tetapi kontroversi itu menjejaskan kempen pilihan rayanya.

Beberapa kumpulan agama Islam melancarkan beberapa bantahan termasuk yang terbaru pada minggu lalu apabila hampir 200,000 penunjuk perasaan berhimpun bagi mendesak Ahok ditangkap.

Sekiranya didapati bersalah kerana menghina agama, Ahok berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Ahok, Islam, Jakarta

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain