suria

Vajiralongkorn Raja Thailand Yang Baharu

Putera Mahkota Thailand Maha Vajiralongkorn menerima pelawaan daripada NLA untuk menjadi Raja Thailand yang baru dan dikenali dengan nama rasmi Raja Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun. fotoBERNAMA

BANGKOK: Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn menaiki takhta pada Khamis selepas menerima jemputan secara rasmi daripada Dewan Perundangan Kebangsaan (Parlimen) untuk menjadi Raja Thailand yang baharu.

Putera Mahkota itu, 64 tahun, kini bergelar Raja Rama X atau Raja ke-10 Dinasti Chakri, menggantikan ayahandanya, Raja Bhumibol Adulyadej, 89, yang mangkat genap 50 hari lalu pada 13 Oktober lalu.

Gelaran baru secara rasmi baginda ialah Raja Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun, menurut kenyataan oleh Jabatan Perhubungan Awam.

"Beta menerima jemputan itu untuk memenuhi hasrat mendiang Raja dan bagi manfaat semua rakyat Thailand," titahnya ketika menerima jemputan daripada Parlimen untuk menjadi Raja.

Pengangkatan baginda menaiki takhta secara rasmi disempurnakan selepas menerima jemputan yang disampaikan oleh Parlimen untuk baginda diisytiharkan sebagai Raja yang baharu pada istiadat penghadapan malam Khamis, kata Presiden Parlimen Pornpetch Witchitcholchai dalam ucapan menerusi televisyen.

Turut hadir pada istiadat itu yang berlangsung di Dewan Ampornsathan yang disiarkan menerusi stesen-stesen televisyen negara itu ialah Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha, pemangku raja yang juga bekas Ketua Majlis Penasihat Raja, Jen Prem Tinsulanonda dan Hakim Mahkamah Agung Weeraphol Tangsuwan.

Dalam ucapannya yang disiarkan menerusi televisyen, Prayut mengisytiharkan bahawa Thailand mempunyai seorang raja baharu menggantikan mendiang Raja Bhumibol Adulyadej dan pemerintahannya bermula pada 13 Oktober, hari ayahandanya, Raja Rama ke-9 mangkat.

Istiadat penghadapan pada Khamis yang secara rasmi menjemput Putera Mahkota menjadi Raja baharu ialah susulan sesi khas Parlimen dua hari lepas apabila parlimen mengandungi 250 anggota mengesahkan pengangkatan baginda untuk menaiki takhta menurut perlembagaan.

Parlimen mengesahkan pengangktan Putera Mahkota sebagai raja selepas kabinet yang dipengerusikan oleh Prayut mengeluarkan pemberitahuan secara rasmi mengenai pengangkatan baginda menaiki takhta susulan mesyuarat khas di Rumah Kerajaan.

Istiadat pertabalan rasmi Raja Rama X dijangka diadakan selepas upacara kremasi diraja, mungkin lewat tahun depan, menurut Prayut.

Raja baharu itu, yang diputerakan pada 28 Julai 1952 di Ambara Villa, Bangkok ialah yang kedua daripada empat cahaya mata mendiang Raja Bhumibol dan Permaisuri Sirikit, dan satu-satunya putera tunggal.

Baginda telah dinamakan oleh mendiang Raja Bhumibol sebagai pewaris takhta pada 28 Dis 1972 ketika berusia 20 tahun.

Raja Rama X mendapat pendidikan peringkat rendah di Sekolah Chitralada di Bangkok dan kemudian melanjutkan pengajian di kolej swasta di United Kingdom dan Australia.

Oleh kerana mempunyai minat yang mendalam dalam hal ehwal ketenteraan, baginda memasuki dan lulus dari Royal Military College of Duntroon di Canberra dan New South Wales University dalam jurusan pengajian ketenteraan.

Sebagai seorang pegawai tentera dengan Tentera Diraja Thai sejak 1975, baginda juga menjalani latihan bersama-sama anggota tentera dari Australia, Britain dan Amerika Syarikat.

Menurut media tempatan, pada tahun-tahun 1970-an sebagai pegawai muda tentera dalam Tentera Diraja Thailand, baginda sendiri mengetuai kempen menentang komunis di bahagian Utara dan Timurlaut negara itu.

Baginda juga ialah seorang juruterbang yang berkelayakan dan mampu menerbangkan jet pejuang serta pesawat pengangkut. - BERNAMA


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain