suria

Tidak Sesuai Bezakan Kekejaman Israel dan Hitler - Erdogan

ISTANBUL: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan enggan mengulas lanjut tentang perbandingan kekejaman yang dilakukan oleh Israel dan pengasas Nazi, Adolf Hitler, sekali gus bakal meningkatkan lagi ketegangan rejim Zionis.

Erdogan berkata demikian kurang seminggu selepas Turki melantik penasihat dasar luar perdana menteri menjadi duta ke Israel, bagi menjalin hubungan diplomatik setelah hubungan goyah antara kedua-dua pihak.

“Saya tidak bersetuju dengan tindakan Hitler dan saya juga tidak setuju dengan apa yang Israel telah lakukan.

"Jika menyentuh tentang persoalan jutaan nyawa yang terkorban, tidak sesuai untuk bertanya siapa yang lebih dahsyat,” kata Erdogan ketika diwawancara oleh stesen televisyen Israel pada Isnin.

Hubungan antara kedua-dua negara menjadi rapuh selepas komando Israel menyerang flotila antarabangsa ke Gaza pada 2010 yang telah mengorbankan 10 aktivis Turki, sekali gus membuatkan Ankara menghantar pulang Duta Israel serta membekukan semua kerjasama pertahanan.

Namun, kedua-dua pihak cuba memulihkan hubungan dan berunding tentang projek pembinaan paip bagi menyalurkan gas Israel ke Turki dan Eropah.

Bagaimanapun ketegangan masih wujud apabila Erdogan menggelar dirinya sebagai pejuang hak Palestin dan sering mengadakan pertemuan dengan ketua hamas, Khaled Meshaal.

Israel, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah menyenaraikan pergerakan Hamas sebagai organisasi pengganas.

Ini bukan kali pertama Erdogan merujuk kepada pemimpin Nazi itu apabila bercakap tentang Israel.

Selepas insiden serangan pada 2010, beliau mendakwa Israel telah ‘menghidupkan semangat Hitler’.

Ketika Perang Gaza pada 2014 yang menyaksikan 2,251 warga Palestin maut, Erdogan menyelar Israel sebagai ‘tidak rasa bersalah, tidak bermaruah, tidak memiliki kemuliaan.  Mereka mengeji Hitler siang dan malam, tapi tindakan mereka mengatasi kekejaman Hitler’.

Erdogan juga menuduh Israel melakukan pembunuhan besar-besaran terhadap rakyat Palestin.

Dalam kenyataan kepada televisyen Israel, Erdogan memberitahu beliau sedar sensitiviti untuk bercakap tentang Hitler yang telah membunuh kira-kira enam juta orang Yahudi.

Namun, beliau juga berkata, agak ‘mustahil untuk melupakan, ratusan malah ribuan nyawa yang melayang apabila Gaza diserang’. - AFP

Artikel Lain