suria

Singapura Sahkan 41 Kes Zika

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan 41 kes jangkitan virus Zika di negara itu, dengan kesemuanya membabitkan penduduk di kawasan Aljunied Crescent dan Sims Drive, termasuk 35 pekerja binaan warga asing.

Jumlah itu adalah daripada 124 orang, termasuk 118 pekerja binaan yang menjalani pemeriksaan pada 27 Ogos lalu.

MOH dan Agensi Persekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura yang mengumumkan perkara itu pada sidang media Ahad berkata, daripada jumlah tersebut, 78 orang disahkan negatif dan baki lima kes lagi masih belum diputuskan.

Tiada daripada kes berkenaan dikenal pasti berkunjung ke kawasan-kawasan yang kes itu dilaporkan, dan mungkin telah dijangkiti di Singapura.

Ia berlainan dengan kes pertama Zika pada Mei lalu, melibatkan seorang lelaki berusia 48 tahun yang berkunjung ke Brazil, salah sebuah negara yang menerima jangkitan Zika.

Pengumuman itu susulan daripada seorang wanita rakyat Malaysia berusia 47 tahun dipercayai pesakit pertama dijangkiti virus Zika di Singapura.

Daripada 41 kes, 36 dikesan menerusi pemeriksaan aktif. 

Secara keseluruhan, 34 kes telah pulih sepenuhnya. Manakala baki tujuh kes lagi, yang kebanyakannya melalui pemeriksaan pada 27 Ogos lalu masih lagi berdepan dengan tanda-tanda itu dan sedang dipulihkan di Hospital Tan Tock Seng. – The Straits Times/Asia News Network

Zika

Artikel Lain