suria

Lelaki Cuba Bunuh Reagan Bebas Selepas 35 Tahun

JOHN Hinckley Jr kini bebas selepas 35 tahun menjalani hukuman dan rawatan pemulihan psikiatrik kerana cubaan membunuh Presiden Ronald Reagan pada 1981.

Keputusan membebaskan Hinckley dibuat Hakim Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat Paul Friedman pada bulan lalu.

Lelaki yang kini berusia 61 tahun itu didapati tidak lagi mendatangkan bahaya pada dirinya atau orang lain dan boleh keluar dari hospital psikiatri St Elizabeth untuk tinggal bersama ibunya, Jo Ann Hinckley.

Susulan itu, Dailymail telah berjaya merakam Hinkley ketika sedang bersiar di pekan  Williamsburg, Virginia yang terletak kira-kira 210 kilometer ke selatan Washington.

Bagaimanapun, perintah yang dibuat itu melibatkan beberapa syarat, termasuk Hinckley wajib bertemu pakar psikiatri di Washington sekurang-kurangnya sekali sebulan dan memberitahu pasukan Perkhidmatan Rahsia apabila dia menghadiri janji temu itu.

Dalam kejadian pada Mac 1981 itu, juri mendapati Hinckley tidak bersalah atas sebab gila.

Serangan itu juga menyebabkan Reagan terpaksa menjalani pembedahan selepas peluru hampir mengenai jantungnya, manakala setiausaha akhbar presiden James Brady cedera parah dan lumpuh, serta mencederakan dua anggota polis lain.

Hinckley dikatakan melakukan serangan itu untuk menarik perhatian pelakon Jodie Foster, yang terlalu diminatinya.

Artikel Lain