suria

Serangan Pisau: Lelaki Ditahan Kerana Disyaki Membunuh

-fotoAFP
LONDON: Lelaki yang ditahan di tempat kejadian serangan pisau di London ditangkap kerana disyaki membunuh, kata polis, Khamis.

"Kami terus memberi tumpuan terhadap siasatan kami ke atas kesihatan mental sambil masih berfikiran terbuka mengenai motifnya," kata polis London dalam satu kenyataan.

Seorang wanita meninggal dunia dan dua wanita serta tiga lelaki cedera dalam serangan lewat malam Rabu di kawasan Russell Square, pusat bandar London, di sebuah hotel pelancongan berhampiran dengan Muzium British.

Tiga daripada lima yang cedera telah dibenarkan keluar dari hospital.

"Seorang lelaki telah ditangkap kerana disyaki membunuh," kata polis London.

"Pistol Taser (pistol renjatan elektrik) telah digunakan semasa penangkapan suspek itu, seorang lelaki berusia 19 tahun."

Polis, dalam Twitter kemudian berkata bahawa suspek telah meninggalkan hospital, di mana dia telah menerima rawatan.

Dia kini berada dalam jagaan di sebuah balai polis di selatan London, kata satu kenyataan.

Suspek hanya akan dinamakan oleh polis apabila mereka telah didakwa melakukan jenayah.

"Ini adalah satu kejadian tragis menyebabkan kematian seorang wanita dan lima yang lain cedera," kata Penolong Pesuruhjaya Polis Mark Rowley.

"Tanda-tanda awal menunjukkan bahawa kesihatan mental merupakan faktor dalam serangan ngeri ini. Walau bagaimanapun kita masih berfikiran terbuka mengenai motifnya.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, penduduk di London akan bangun pada pagi ini dan melihat ramai anggota dan pegawai,  termasuk pegawai bersenjata di jalanraya.

"Kami menggesa orang ramai supaya bertenang, peka dan berhati-hati."

Artikel Lain