suria

Empat Maut Serangan Di Bangunan Polis Somalia

Orang ramai mengangkat mangsa ke dalam van, susulan serangan di ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah di Mogadishu. Foto AFP

SOMALIA: Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh apabila dua buah kereta yang penuh dengan bahan letupan merempuh bangunan polis di ibu negara Somalia, Mogadishu pada Ahad.

"Berdasarkan maklumat yang kami terima, sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 12 yang lain cedera tetapi kami masih belum mempunyai maklumat lanjut," kata pegawai keselamatan Mohammed Ibrahim kepada AFP.

Tambahnya, wujud elemen pengganas dalam kejadian rempuhan di ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Polis di pusat bandar tersebut.

Wartawan AFP yang berada ditempat kejadian pula berkata, terdengar bunyi tembakan selepas letupan berlaku berhampiran persimpangan jalan di bandar itu.

"Salah sebuah kereta merempuh di sudut bangunan dan satu lagi berhampiran pintu pagar. Letupan berkenaan mengakibatkan kepulan asap dan keadaan dalam kucar-kacir," kata saksi, Abukar Osman.

Setakat ini, tiada pihak bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Letupan berlaku hanya beberapa hari selepas serangan bom berhampiran dengan lapangan terbang Mogadishu yang berlaku berhampiran dengan bangunan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Afrika, mengorbankan 13 orang.

Serangan tersebut didakwa dilakukan oleh kumpulan militan Shabaab. - AFP

Somalia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain