suria

60 Pelajar Ditahan Berpakaian Ala Tentera, Pegang Senjata

Gambar fail menunjukkan perbarisan pelajar Sekolah Tentera Kuleli di Turki.

POLIS Turki menahan lebih 60 pelajar sekolah dan menuduh mereka kerana khianat.

Perkara itu didedahkan selepas pembebasan mereka pada Sabtu malam.

Emre, seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di sekolah tinggi tentera tertua di Istanbul ditahan sejurus selepas cubaan rampasan kuasa di negara itu, bersama-sama dengan 62 rakannya di Sekolah Tentera Kuleli.

Peguam mereka berkata, sebelum cubaan rampasan kuasa itu, kesemua pelajar terbabit, berusia antara 14 dan 17 tahun berpakaian seperti anggota tentera dan diberikan senjata tanpa peluru.

Kesemua pelajar berkenaan ditahan di penjara, tidak dibenarkan bercakap dengan ibu bapa mereka, dan dituduh mengkhianati negara.

"Anak-anak kami tidak pernah memegang senjata sebelum ini. Mereka dipergunakan, mereka dipaksa untuk melakukan perkara tersebut," kata ibunya, yang menunggu pembebasan anaknya bersama ramai lagi ibu bapa di Penjara Maltepe di Istanbul.

"Mempergunakan kanak-kanak dan memaksa mereka untuk mematuhi arahan anda adalah lebih buruk berbanding mana-mana serangan keganasan," katanya.

Seorang peguam yang mewakili tiga pelajar Kuleli, Nazli Tanburaci Altac berkata: "Sebahagian keluarga tidak mendengar khabar berita mengenai anak-anak mereka selama tujuh hari. Ia bukan sesuatu yang seharusnya berlaku walaupun dalam keadaan darurat di negara ini." - Mirror

Artikel Berikut

Artikel Lain