suria

Suspek Rampasan Kuasa Turki Boleh Ditahan 30 Hari Tanpa Bicara

Rakyat Turki mengadakan protes terhadap tindakan tentera melakukan cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai lalu.

ISTANBUL: Undang-undang darurat Turki membenarkan penahanan selama 30 hari tanpa bicara terhadap suspek cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai lalu.

“Suspek boleh ditahan sehingga 30 hari sebelum dihadapkan ke mahkamah sama ada ditahan reman atau tidak,” demikian menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan itu.

Menurut pihak berkuasa, sehingga kini seramai 10,410 orang ditahan, termasuk askar, polis, hakim, pendakwa raya dan pegawai undang-undang.

Agensi berita tempatan, Anadolu pula melaporkan, daripada jumlah itu, seramai 4,060 orang telah didakwa dan diletakkan di bawah tahanan.

Salah seorang yang berada di bawah tahanan reman ialah seorang gabenor wanita di wilayah Sinop, Yasemin Ozata Cetinkaya yang menjadi satu-satunya gabenor wilayah yang ditahan setakat ini.

Sekurang-kurangnya 295 anggota keselamatan Erdogan turut ditahan kerana menjadi suspek yang dikaitkan dengan rampasan kuasa tersebut.

Turki pada Khamis lalu mengumumkan tempoh darurat selama tiga bulan selepas pihak tentera gagal melakukan rampasan kuasa bagi menggulingkan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Aktivis termasuk pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International bagaimanapun memberi amaran kepada Turki mengenai tempoh lanjutan tahanan berkenaan kerana biasanya hanya maksimum empat hari.

Kenyataan itu menambah, serentak dengan pelaksanaan undang-undang darurat itu, sebanyak 1,043 sekolah swasta dan 1,229 pertubuhan serta yayasan akan ditutup.

Turki menyalahkan cubaan rampasan kuasa tersebut ke atas sebuah organisasi seorang pendakwah berpangkalan di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen yang mempunyai pengaruh kuat dalam sistem pendidikan dan undang-undang di Turki.– AFP



Turki, darurat, Recep Tayyip Erdogan

Artikel Sebelum

Artikel Lain