suria

Lelaki Ditangkap Buru Pokemon Di Kem Tentera

JAKARTA: Seorang lelaki Perancis yang ditangkap kerana menceroboh di sebuah pangkalan tentera di Indonesia mengakui sedang leka bermain permainan digital Pokemon hingga dia secara tidak sengaja memasuki kawasan larangan itu, demikian menurut polis.

Romain Pierre, 27, cuba untuk menangkap "raksasa" maya itu ketika sedang berjoging pada waktu petang.

Namun dia akhirnya secara tidak sebgaja memasuki kawasan kawalan keselamatan tinggi berkenaan, kata jurucakap polis Jawa Barat, Yusri Yunus kepada AFP.

"Dia memberitahu sedang memburu Pokemon," kata Yunus, merujuk kepada makhluk digital tersebut.

Menurut Yunus, Warga Perancis itu cuba melarikan diri apabila dikesan pihak berkuasa.

Beliau ditahan selama beberapa jam untuk disoal siasat sebelum dibebaskan pada awal pagi, 19 Julai.

Jurucakap tentera tempatan menggesa orang ramai supaya berhati-hati, kerana Pokémon Go boleh digunakan sebagai medium untuk aktiviti jenayah.

"Mungkin ramai orang yang tidak dikenali cuba untuk memasuki kawasan persendirian untuk melakukan jenayah, namun berpura-pura untuk memburu Pokemons apabila ditangkap," kata Mokhamad Desy Ariyanto kepada AFP.

Sejak dilancarkan dua minggu lalu, Pokémon Go telah mencetuskan kegilaan di seluruh dunia. -AFP

Pokemon Go, Pokemon

Artikel Lain