suria

Polis Thai Serbu Pusat Panggilan Palsu, 14 Rakyat Malaysia Ditahan

Gambar hiasan.

BANGKOK: Polis Thailand menahan 14 warga Malaysia termasuk seorang remaja perempuan dan seorang wanita Vietnam di San Sai, Wilayah Chiang Mai kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pusat panggilan palsu.

Menurut ketua penyiasatan Balai Polis San Sai Kapten Kunnasak Srikuratanont, 15 anggota suspek sindiket itu ditahan di sebuah rumah sewa di Kluaymai, daerah San Sai, 10 pagi Selasa.

"Polis Wilayah Kelima mendapat maklumat daripada penduduk di kawasan itu atas penggunaan elektrik yang tinggi, membawa kepada carian dan penahanan rakyat Malaysia dan Vietnam," katanya.

Beliau berkata seorang daripada warga Malaysia itu remaja perempuan berusia 17 tahun, telah dipindahkan ke pusat tahanan belia.

Kunnasak berkata sindiket itu menggunakan Chiang Mai sebagai pangkalan untuk kegiatan jenayah mereka dan menyasarkan warga Malaysia yang tinggal dan bekerja secara haram di Thailand sebagai mangsa.

Pihak polis membawa kesemua suspek dalam sidang media di Chiang Mai.

Kunnasak berkata polis juga menemui tujuh pil methamphetamine dalam satu  bilik yang diduduki seorang lelaki warga Malaysia, dipercayai ketua sindiket itu.

Selain menghadapi tuduhan penskaman dan menipu mangsanya, beliau berkata lelaki itu juga akan didakwa atas tuduhan berkaitan dadah.

"Bagi tuduhan berkaitan penskaman dan menipu, lelaki itu dan anggota sindiketnya bakal dipenjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan, manakala bagi tuduhan dadah, dia boleh dipenjarakan sehinga 10 tahun," katanya.

Polis percaya sindiket itu menggunakan dadah.

Kunnasak berkata suspek yang kini ditahan di Balai Polis San Sai akan direman pada Khamis. - BERNAMA

pusat panggilan palsu, Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Lain