suria

Wanita Warga AS Saman Polis, Dakwa Dipaksa Tanggal Tudung

LOS ANGELES: Seorang wanita Islam warga Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman terhadap polis di California kerana mendakwa tudungnya ditanggalkan secara paksa selepas ditahan susulan waran tangkap yang dikeluarkan ke atasnya.

Wanita berketurunan Afrika itu, Kirsty Powell dan suami diarah berhenti oleh dua pegawai ketika memandu pulang ke rumah mereka pada Mei tahun lalu.

Aduan terhadap bandar raya Long Beach dan jabatan polis menyebut, Kirsty ditahan susulan dua waran ke atasnya iaitu berkaitan dakwaan saudara perempuannya menggunakan identiti beliau secara salah dan satu lagi melibatkan kejadian mencuri di kedai runcit pada 2002. 

Wanita itu mendakwa ketika ditahan di balai polis, salah seorang pegawai menanggalkan tudungnya secara paksa di depan pegawai dan tahanan lelaki, sambil berkata beliau 'tidak dibenarkan memakai tudung' dan anggota polis 'dibenarkan menyentuh wanita'.

Saman menyatakan Kirsty berhadapan malu, penghinaan, penderitaan mental dan tekanan emosi berterusan berikutan kejadian itu.

"Tindakan diambil pegawai polis Long Beach tidak wajar dan pencabulan serius terhadap maruah Powell.

"Layanan oleh pegawai Jabatan Polis Long Beach menunjukkan salah guna kuasa dan satu lagu contoh diskriminasi dihadapi wanita bertudung," kata peguam cabang Majlis Perhubungan Amerika-Islam di Los Angeles, Yalda Satar. - AFP


Kirsty Powell, Long Beach, Afrika, Islam

Artikel Lain