suria

Singapura Minta Calon Pilihan Raya Patuhi Hari Bertenang

Penyokong parti memerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) bersorak memberi galakan kepada calon pilihan raya mereka di pusat penamaan calon di Raffles Institution. -fotoBERNAMA
SINGAPURA: Parti politik dan calon pilihan raya dijangka mematuhi semua undang-undang berkaitan Hari Bertenang esok (Khamis) dan Hari Pengundian pada Jumaat ini, menurut Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD).

ELD, dalam kenyataan pada Rabu, menasihatkan semasa Hari Bertenang, calon dan parti politik tidak dibenarkan berkempen dan pengiklanan pilihan raya tidak boleh diterbitkan atau dipamerkan.

Hari Bertenang, yang mula diperkenalkan dalam pilihan raya 2011, bertujuan membolehkan pengundi memikirkan sacara rasional pelbagai isu yang dibangkitkan semasa berkempen sebelum keluar mengundi, Jumaat ini.

Jabatan itu menasihatkan calon supaya menjaga perlakuan di khalayak ramai dan berhati-hati agar mengelakkan sebarang tindakan yang mungkin dilihat sebagai berkempen.

Semasa Hari Bertenang dan Hari Mengundi, calon dilarang memancing undi atau melawat kawasan pilihan raya mereka.

Hari ini merupakan hari terakhir untuk berkempen pada pilihan raya edisi ke-13 itu dan semasa hari mengundi, stesen-stesen mengundi akan dibuka mulai 8 pagi hingga 8 malam.

Calon dari sembilan parti politik termasuk Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah, bersaing untuk merebut 16 Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan 13 Kawasan Undi Perseorangan (SMCs) untuk mengisi 89 kerusi anggota Parlimen.

Artikel Lain