suria

Cap Jari Suspek Sepadan Dengan Kesan Pada Bahan Letupan

Prawuth Thavornsiri.
BANGKOK: Kesan cap jari yang ditemui dalam bilik yang diserbu polis di daerah Nong Chok di sini Sabtu lepas adalah sepadan dengan suspek kedua insiden pengeboman di sini yang ditahan di sempadan Kemboja pada Selasa.

Jurucakap polis Thailand, Leftenan Jeneral Prawuth Thavornsiri berkata kesan cap jari suspek itu adalah sepadan dengan kesan cap jari pada komponen bahan letupan yang ditemui dalam salah sebuah daripada lima bilik yang disewa oleh suspek pertama.

Prawuth mengesahkan demikian ketika memberi taklimat kepada Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional Thailand (NCPO) menerusi siaran langsung televisyen hari ini.

Sabtu lepas, polis menahan suspek pertama, seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun, yang disyaki terbabit dalam insiden serangan bom berkembar  berdekatan Kuil Erawan di persimpangan Ratchaprasong di pusat ibu negara dan dekat jeti Sathorn di Sungai Chao Phraya, 17 Ogos lepas.

Dalam insiden di luar Kuil Erawan, sebanyak 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia terkorban dan 130 mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, tiada seorang pun cedera dalam kejadian di jeti Sathorn, yang popular dalam kalangan pelancong yang mahu menggunakan pengangkutan air untuk ke kawasan tarikan pelancongan di sekitar Bangkok.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Thailand, Jeneral Jakthip Chaijaida berkata pihak berkuasa masih belum memastikan kesahihan pasport milik suspek kedua itu.

Berdasarkan pasport, katanya, suspek tersebut adalah seorang etnik Islam Uighur.

Menurut maklumat di media sosial, Twitter, aplikasi chatting LINE dan Facebook, suspek kedua tersebut ialah seorang warga China berusia 25 tahun berasal dari Xinjiang, wilayah kumpulan etnik Islam Uighur.

Dia didakwa cuba meninggalkan Thailand secara haram.
Bagaimanapun, Jakthip berkata pihaknya perlu menunggu pengesahan dokumen pengenalan diri oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Pumpanmuang meminta seorang suspek wanita, Wanna Suansan, 26, supaya menghubungi kedutaan Thailand di Turki sekiranya dia berada di negara itu.

Sebelum ini, polis Thailand telah mengeluarkan waran tangkap terhadap wanita Islam Thailand itu.

Suspek wanita itu yang didakwa berada di Turki telah menghubungi polis Thailand untuk mahu pulang ke negara itu bagi 'membersihkan' namanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain