suria

Arab Saudi Dalam Senarai Teratas Pengimport Senjata

LONDON: Arab Saudi telah mengambil alih tempat India sebagai pengimport terbesar senjata di dunia bagi tahun 2014, demikian menurut satu kajian yang dijalankan oleh sebuah majalah pertahanan antarabangsa.

Menurut majalah IHS Jane’s, dagangan sistem pertahanan global kini telah mencecah AS$64.4 bilion.

Peningkatan ini didorong oleh permintaan yang tinggi oleh negara-negara dengan pertumbuhan ekonomi yang memberansangkan.

Sebahagian besarnya memperuntukkan bajet yang besar untuk membeli pesawat-pesawat tentera khususnya dari negara-negara timur tengah dan Asia Pasifik.

Pakar analisis ketenteraan IHS, Ben Moores berkata, daripada 65 buah negara yang dianalisa, Arab Saudi membelanjakan lebih AS$6.4 bilion untuk peralatan tentera sepanjang 2014, mengatasi India yang membelanjakan sekitar AS$5.57 bilion.

Ia memperlihatkan peningkatan sebanyak 54 peratus dan peningkatan ini akan terus meningkat bagi tahun 2015.

Selain Arab Saudi United Arab Emirates (UAE) membelanjakan AS$2.2 bilion untuk kelengkapan pertahanan mereka bagi 2014.

Perbelanjaan pertahanan kedua-dua negara ini mengatasi jumlah keseluruhan yang dibelanjakan oleh negara-negara Eropah Barat.

Amerika Syarikat mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport terbesar senjata dunia, dengan jumlah jualan sehingga AS$23.7 bilion diikuti oleh Rusia sebanyak AS$10 bilion.

Daripada jumlah eksport Amerika itu, AS$8.4 bilion nilai peralatan dan kelengkapan ketenteraan pergi ke Timur Tengah sepanjang 2014, berbanding hanya AS$6 bilion pada 2013.

Bagi Rusia pula, pelanggan terbesarnya ialah China dengan jumlah jualan sebanyak AS$2.3 bilion.

Kejatuhan harga minyak dijangka akan meninggalkan kesan ke atas ekonomi kebanyakkan negara pengimport.

Selain Arab Saudi dan India, Perancis adalah negara ketiga pengimport terbesar senjata dunia dengan perbelanjaan sebanyak AS$4.9 bilion diikuti oleh Britain (AS$4.1 bilion) dan Jerman (AS$3.5 bilion).

Artikel Lain