suria

Guru Dipenjara Kerana Miliki 4,393 Imej Lucah Kanak-Kanak

Stuart Robert Rees mengaku bersalah kerana memiliki beribu imej lucah membabitkan kanak-kanak.

SEORANG guru geografi dihukum penjara selepas mengaku bersalah memiliki 4,393 imej lucah membabitkan kanak-kanak semuda dua tahun.

Bapa kepada tiga anak itu, Stuart Robert Rees, 51 menulis kepada hakim untuk memperjelaskan tentang tingkah lakunya bahawa kesemua bahan itu dijadikan sebagai 'pemuas nafsu' buat dirinya.

Di mahkamah Merthyr Tydfil Crown pada Isnin, dia mengaku bersalah di atas tiga tuduhan kerana memiliki gambar-gambar lucah kanak-kanak, dan salah satunya merupakan sekeping gambar kanak-kanak untuk tujuan pengedaran.

Memetik laporan Wales Online, guru berkenaan turut disabitkan hukuman di atas tuduhan kerana memiliki imej tidak senonoh, lima imej perlakuan lucah dan tiga imej yang melampau.

Bagaimanapun tiada satu imej pun dikaitkan dengan pelajar di Sekolah Tinggi Gwernyfed, dekat Brecon di Mid Wales.

Rees bertugas sebagai ketua penolong di bahagian geografi sekolah itu.

Pendakwa, Sarah Waters berkata, polis menemui kelengkapan komputer yang mengandungi beribu-ribu imej lucah dalam satu pemeriksaan di kediaman guru itu pada 18 Jun 2013.

Terdapat 887 imej dalam kategori A iaitu kategori yang paling serius, 997 imej dalam kategori B yang turut membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia antara dua dan empat tahun, manakala 2,509 imej pada kategori C.

Rees dipenjarakan selama 16 bulan dan perlu mematuhi Perintah Pencegahan Kesalahan Seksual selama 10 tahun yang memerintahkan supaya penggunaan internetnya dihadkan. - mirror.co.uk


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain