suria

Wanita Saudi Dibenar Memandu Jika Tak Mekap

Hanya wanita berusia lebih 30 tahun dan tidak bersolek dibenarkan memandu di Arab Saudi.
RIYADH: Majlis Syura Arab Saudi membuat tindakan berani mencadangkan pemerintah negara itu supaya membenarkan wanita memandu tetapi dengan syarat ketat mereka mesti berumur lebih 30 tahun dan tidak boleh bersolek.


Kebenaran itu hanya untuk tempoh sehingga pukul 8 malam setiap hari.

Seorang anggota majlis itu memberitahu, jika cadangan berkenaan diperkenan Raja Abdullah Abdulaziz, wanita yang memenuhi syarat berkenaan juga diwajibkan mendapat kebenaran  suami, bapa atau penjaga mereka sebelum boleh memandu kenderaan.

"Tempoh wanita dibenarkan memandu hanya antara pukul 7 pagi hingga 8 malam bagi Sabtu sehingga Rabu, atau 12 tengah hari hingga 8 malam pada Khamis dan Jumaat," katanya.

Diperintah secara konservatif, Arab Saudi menyambut hujung minggu setiap Khamis dan Jumaat.

Sebelum ini kerajaan mengharamkan wanita memandu kerana pelbagai alasan, sama ada bersandarkan kepada hujah hukum atau kesihatan.

Media pernah melaporkan, ada ulama Arab melarang wanita memandu kerana didakwa boleh menjejaskan ovari masing-masing.

Pengharaman memandu di negara Teluk tidak dinyatakan dalam sebarang undang-undang bertulis sebaliknya dikeluarkan melalui fatwa ulama konservatif setempat.

Sesetengah ulama berpendapat, kebenaran memandu di kalangan wanita akan menyebabkan golongan terbabit sukar dikawal kerana terlalu bebas.

Larangan itu mendapat kritikal aktivis hak asasi wanita tetapi setakat ini belum ada sebarang perubahan dibuat.

Kata sumber itu, jika wanita terbabit memandu dalam kawasan bandar raya masing-masing mereka boleh melakukannya tanpa ditemani mahram.

Bagaimanapun, jika mereka memandu ke luar kawasan tempatan, seorang mahram lelaki wajib berada dalam kereta itu.

Kata sumber, perubahan sikap itu sedikit sebanyak dipengaruhi desakan kumpulan aktivis hak asasi wanita sejak sekian lama.

"Majlis Syura turut menyarankan pembentukan Jabatan Trafik Wanita yang khusus membantu golongan berkenaan jika berlaku kerosakan di tengah jalan, atau berdepan gangguan seksual," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

AS Tambah Tentera Perangi IS

Artikel Lain