suria

Raja Bhumibol Perakui Jeneral Prayut Sebagai PM Baru Thailand

PM Baru Thailand, Prayut Chan-O-Cha.

BANGKOK: Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Prayut Chan-O-Cha telah disahkan sebagai perdana menteri negara itu yang baru setelah pelantikannya diperkenan oleh Raja Bhumibol Adulyadej.

Jeneral Prayut Chan-O-Cha, 60, yang merampas kuasa pada 22 Mei lalu selepas menyaksikan perbalahan antara parti-parti politik gagal membawa keamanan dan kestabilan, telah dipilih tanpa dicabar sebagai perdana menteri minggu lalu oleh Dewan Rakyat yang dianggotai oleh majoriti pemimpin-pemimpin tertinggi tentera selepas rampasan kuasa itu.

Selepas secara rasmi menerima perkenan diraja, Prayut - yang memakai pakaian seragam rasmi putih - melutut dan tunduk di hadapan potret Raja Bhumibol Adulyadej sebagai simbol penghormatan.

Raja Bhumibol adalah raja paling lama memerintah yang masih hidup di muka bumi ini.

"Raja Bhumibol telah dengan rasminya berkenan untuk menerima pelantikan saya sebagai perdana menteri dan ini adalah satu penghormatan kepada saya dan juga keluarga saya. Saya dengan ini berikrar akan bekerja dengan penuh kejujuran dan seikhlas hati untuk masa depan rakyat Thailand," katanya selepas majlis tersebut.

Beliau juga akan terus kekal sebagai panglima junta tentera buat masa ini sehingga keadaan benar-benar stabil. Junta tentera itu dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Untuk Keamanan dan Perintah.

Prayut dijangka membentuk kabinet barunya September nanti.

Majlis yang diketuai Prayut itu menegaskan yang mereka terpaksa bertindak merampas kuasa selepas menyaksikan suasana dalam negara menjadi huru-hara kerana ketidakstabilan politik dan juga selepas 30 orang terbunuh akibat keganasan sekaligus melumpuhkan kerajaan, ekonomi serta pentadbiran awam.

Ekoran rampasan kuasa tersebut, majlis berkenaan menegaskan yang pilihan raya umum hanya akan diadakan semula selepas Oktober 2015.


Artikel Lain