suria

Key Ramal Saingan Sengit Pilihan Raya 20 September Ini

John Key.
WELLINGTON: Perdana Menteri, John Key meramalkan akan mendapat tentangan sengit pada pilihan raya New Zealand yang dijadualkan berlangsung bulan depan, walaupun tinjauan pendapat menunjukkan partinya memperoleh dua kali sokongan berbanding parti lawan.

Salah satu tinjauan pendapat menyatakan Parti Nasional yang diterajui Key mendahului dengan 50 peratus sokongan menjelang pilihan raya pada 20 September ini.

Parti Buruh pula hanya memperoleh 26 peratus sokongan.

Namun, Key berkata beliau enggan terlalu selesa kerana sistem pemilihan 'Multi-Party Proportional (MMP)' menekankan peranan parti kecil dan memaksa pemain utama untuk membentuk kerajaan campuran.

Key bertanding bagi penggal ketiga selepas menang pilihan raya pada 2008.

Sementara itu, Key menolak dakwaan dalam sebuah buku yang diterbitkan pada minggu lalu bahawa salah seorang bekas kakitangannya menjalankan kempen kotor dengan memberi maklumat kepada blogger berhaluan kanan.

Bekas kakitangan Key itu turut didakwa mengakses pangkalan data Parti Buruh.

"Kita ada lima minggu lagi sebelum pilihan raya. Orang ramai boleh lihat sama ada penulis buku itu, Nicky Hager bercakap benar dalam bukunya," katanya.

Artikel Lain