suria

Masyarakat Islam Thai Lancar Bantahan Di Depan Kedutaan Israel

Rakyat Thailand berarak di depan kedutaan Israel sebagai membantah tindakan kejam ke atas penduduk di Gaza.
BANGKOK: Beratus-ratus masyarakat Islam di Thailand berkumpul di hadapan Kedutaan Israel di Bangkok hari ini dalam demonstrasi secara aman menuntut bagi "menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Palestin" dan "Bebaskan Gaza".

Presiden Majlis Antarabangsa Al Quds Thailand Stinerapab Suksamran berkata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) harus bertindak terhadap apa yang berlaku di Gaza dan Palestin pada masa ini.

"Kira-kira 700 rakyat Palestin telah terbunuh dan 80 peratus daripada mereka terdiri daripada kanak-kanak dan wanita," kata beliau.

Majlis itu juga mengutuk kekejaman itu dan menggesa Israel menghentikan operasi ketenteraan dan dengan segera menghentikan "pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin".

Ia juga meminta PBB menamatkan konflik bagi membawa keamanan di Semenanjung Gaza serta menggesa OIC membantu mangsa-mangsa konflik.

Demonstrasi selama dua jam itu berlangsung pukul 2 petang di Asok, kawasan yang menjadi pusat perniagaan di Bangkok.

Para penunjuk perasaan juga mengibarkan bendera Palestin dan membakar bendera Israel sebelum bersurai.

Beberapa anggota polis ditempatkan di depan kedutaan sementara pusat pemeriksaan ditubuhkan untuk memeriksa barang-barang kepunyaan penunjuk perasaan sebelum memasuki bahagian hadapan kedutaan.
bantahan, Thailand, Israel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain