suria

Amaran Rampasan Pesawat: Warga Australia Tak Boleh Didakwa Di Indonesia

Lockley dibawa pihak berkuasa Indonesia selepas mencetuskan kekecohan akibat mabuk dalam penerbangan.

JAKARTA: Seorang penumpang warga Australia yang mencetuskan amaran rampasan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali pada Jumaat, hanya boleh didakwa di bawah undang-undang Australia, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan Indonesia.

Ketua Penyiasat Awam dan Keselamatan Penerbangan kementerian itu, Rico Richardo berkata Matt Christopher Lockley, 28, tidak boleh didakwa di bawah undang-undang penerbangan Indonesia kerana negara berkenaan telah mengesahkan Konvensyen Tokyo 1963.

Konvensyen Tokyo menyediakan kerangka kerja undang-undang untuk berurusan dengan penumpang yang sukar dikawal, atau dengan tingkah laku mengganggu yang membawa kepada serangan fizikal, atau menimbulkan ancaman kepada keselamatan penerbangan.

"Konvensyen itu menetapkan negara di mana pesawat mendarat boleh menjalankan penyiasatan bagi mengetahui motif tindakan itu. Keputusan akan diselaras dengan negara di mana pesawat itu didaftar dan di mana (pesalah itu) datang.

"Berdasarkan Konvensyen Tokyo 1963, pihak berkuasa kepada penguatkuasaan undang-undang jenayah adalah negara di mana pesawat itu didaftar. Dalam kes ini, Australia mempunyai kuasa," katanya.

Mengikut Perkara 412 Undang-Undang Penerbangan Indonesia, seseorang yang membahayakan keselamatan pesawat boleh didakwa dan berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda Rupiah 500 juta (AS$43,200).

Bagaimanapun, Rico berkata pihak berkuasa Indonesia masih perlu menyiasat serta menyoal Lockley dan anak kapal pesawat berkenaan termasuk juruterbang Neil Thomas Cooper dan pembantu juruterbang Ryan Richard Stockwell.

"Kami akan menyiasat motif serta hal lain dan kemudian kami akan menghubungi kerajaan Australia. Kami juga akan menyelaras dengan Pejabat Imigresen (untuk penghantaran pulang suspek)," katanya sambil menambah siasatan sedang dijalankan pasukan dari Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Polis Bali.

Beliau berkata pihaknya juga akan menyoal juruterbang dan anak kapal bagi menentukan sama ada mereka melaksanakan prosedur standard keselamatan atau sebaliknya.

Dalam insiden pukul 2 petang itu, Lockley mencetus kekecohan apabila didakwa tidak henti-henti mengetuk pintu kokpit pesawat Boeing 737-800 milik Virgin Australia dari Brisbane ke Denpasar, yang membawa 131 penumpang dan enam anak kapal.

Lockley, dalam keterangan kepada polis semalam, menafikan dia mabuk sebaliknya mendakwa tersilap menyangka pintu kokpit adalah pintu tandas, malah beliau juga mendakwa berada dalam keadaan tertekan kerana ingin mencari isterinya, seorang rakyat Indonesia yang gagal dihubungi sejak dua minggu lalu.


Artikel Lain