suria

Rakyat Malaysia Dihukum Penjara Kerana Atur Perlawanan Bola Sepak

MELBOURNE: Seorang rakyat Malaysia yang menganggotai sindiket antarabangsa bagi mengatur perlawanan bola sepak di sini, dihukum penjara setahun.

Australian Associated Press (AAP) melaporkan Segaran Subramaniam, 46, mengaku bersalah menetapkan keputusan pertaruhan selepas mengatur keputusan enam perlawanan bola sepak dalam Liga Premier Victoria.

Hakim Mahkamah Daerah Victoria Michael Bourke pada Khamis menjatuhi hukuman penjara tiga tahun terhadap Subramaniam, tetapi menggantung dua tahun daripada hukuman itu.

Subramaniam bertindak sebagai pemudah cara antara pemain di kelab Liga Premier Victoria, Southern Stars, di sini dan beberapa ketua sindiket dari luar negara.
Bourke berkata Subramaniam mengkhianati usaha gigih mereka yang terlibat dalam sukan itu.

"Ia mengkhianati rakyat serta kejujuran pemain dan pegawai yang kamu serta penipu seperti kamu sering berdampingan," kata hakim itu yang dipetik AAP.

Kira-kira A$60,000 disalurkan ke dalam akaun Subramaniam untuk membayar kepada pemain dan membiayai hotel dan kereta yang mereka gunakan.

Subramaniam bagaimanapun memberitahu polis dia hanya memperoleh kira-kira A$6,000 daripada jenayah itu.

Bourke berkata Subramaniam akan dihantar pulang ke Malaysia selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Southern Stars hanya memenangi satu daripada 21 perlawanan pada musim 2013 dan keputusan itu diisytiharkan tidak sah oleh Persekutuan Bola Sepak Victoria.

Tahun lepas, pemain Southern Stars dari England Reiss Noel dan Joe Woolley disabitkan kesalahan dan didenda kerana membantu menetapkan empat perlawanan.

Dua lagi pemain England David Obaze dan Nicholas McKoy serta jurulatih mereka Zia Younan, juga dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengatur perlawanan dan akan dibicara di Mahkamah Majistret Jun ini.

Artikel Lain