suria

Pemilu 2014: PDI-P Dahului Parti Lain

Megawati Sukarnoputri.
JAKARTA: Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) mendahului 11 parti nasional lain pada Pemilihan Umum (Pemilu) Parlimen Indonesia 2014 pada Rabu, berdasarkan pengiraan segera oleh beberapa institut kaji selidik. 

Setakat 6 petang Rabu, hasil kaji selidik yang diperoleh agensi berita Antara dengan kerjasama Radio Republik Indonesia, mendapati PDI-P yang dipimpin bekas Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri memperoleh undi sebanyak 17.13 peratus undi.

Parti Golongan Karya (Golkar) di tempat kedua dengan meraih 15.51 peratus undi manakala parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) menduduki posisi ketiga dengan 10.05 peratus.
 
Parti Demokrat yang dipimpin Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono di tempat keempat setelah memperoleh 9.62 peratus, diikuti Parti Kebangkitan Nasional (PKB - 9 peratus), Parti Persatuan Pembangunan (PPP - 8.15 peratus).

Parti Amanat Nasional (PAN - 7.53 peratus), Parti Nasional Demokrat (Nasdem - 6.93 peratus), Parti Keadilan Sejahtera (PKS - 6.84 peratus) dan Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura - 6.72 peratus). 

Dua parti yang meraih undi paling sedikit adalah Parti Bulan Bintang (PBB)
yang mendapat 1.36 peratus undi dan Parti Keadilan dan Persatuan Indonesia (PKPI - 1.15 peratus). 

Hasil pengiraan segera seperti dilaporkan akhbar Kompas juga menunjukkan PDI-P mengungguli parti lain apabila memperoleh 18.34 peratus undi diikuti Golkar (17.42) dan Gerindra (12.72). 

Sementara, hasil kaji selidik oleh Lingkarang Survei Indonesia menunjukkan PDI-P meraih 19.51 peratus undi manakala Golkar dan Gerindra, masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan memperoleh 16.15 dan 12.16 peratus.

Sebanyak 185.5 juta pengundi berdaftar di Indonesia pada Rabu memilih wakil rakyat bagi menduduki 560 kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) atau parlimen Indonesia pada pilihan raya umum kali ini. Rakyat Indonesia juga secara serentak memilih lebih 18,000 anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Tingkat I dan Tingkat II (ahli majlis tempatan) di semua 33 provinsi atau wilayah. 

Mengikut sistem demokrasi Indonesia, sesebuah parti politik atau gabungan parti politik yang dapat meraih 25 peratus undi popular atau memperoleh paling minimum 20 peratus kerusi DPR pada Pemilu, layak mengemukakan pasangan calon untuk pemilihan jawatan Presiden dan Wakil Presiden (Naib Presiden). 

Pemilihan umum Presiden Indonesia akan diadakan pada 9 Julai depan.

Susilo sudah terpilih sebanyak dua kali dengan setiap penggal adalah selama lima tahun dan beliau tidak layak merebut jawatan itu kali ini, walaupun parti yang dipimpinnya, Demokrat memperoleh sejumlah undi popular dan kerusi yang mencukupi di parlimen.

Komisi Pemilihan Umum (KPU) dijangka mengumumkan keputusan rasmi Pemilu 2014 dari 7 hingga 9 Mei. 

Tinjauan Bernama di beberapa pusat pengundian di sekitar Jakarta Pusat dan Jakarta Selatan mendapati proses yang melibatkan kira-kira 400 pengundi di setiap pusat pengundian itu berjalan lancar tanpa insiden kekecohan. 

Lebih 500,000 pusat mengundi di seluruh Indonesia dibuka sejak 7 pagi dan ditutup pada 1 tengah hari Rabu sempena Pemilu Parlimen 2014.

Artikel Lain