suria

Parti Nasdem Akui Kemampuan Jokowi Calon Presiden Indonesia

Joko Widodo.
JAKARTA: Ketua Umum parti Nasional Demokrat (Nasdem), Surya Paloh berpendapat Joko Widodo atau Jokowi dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) berpeluang menjadi Presiden Indonesia bagi tempoh 2014-2019.

Beliau berkata rakyat Indonesia tidak seharusnya memandang rendah kemampuan Gabenor Jakarta itu sebagai calon presiden pada Pemilihan Umum (Pemilu) akan datang, meskipun belum genap dua tahun menerajui Jakarta. 

"Jokowi, saya kenal baik. Kita tidak boleh pandang rendah terhadapnya. Beliau juga mempunyai peluang," kata Surya di Semarang pada Jumaat.

Surya berkata berdasarkan beberapa tinjauan yang dilakukan, populariti Gabenor Jakarta itu terus meningkat setelah diumumkan sebagai calon Presiden Indonesia.

"Nasibnya lagi baik. Daripada Datuk Bandar Solo, Gabenor Jakarta, sekarang calon presiden. Naik pangkatnya sangat cepat. Ada sesuatu kelebihan yang dimilikinya," kata beliau.

Dalam pada itu, Surya berkata beliau tidak akan memberi komen yang negatif terhadap Jokowi ataupun parti politik lain dalam menghadapi pilihan raya umum itu.

"Kita harus jaga etika. Boleh dilakukan tanpa menyalahkan. Mudah menyalahkan orang lain tapi susah menyalahkan diri sendiri," katanya.

Surya berkata sebagai parti berpengalaman di bawah kepimpinan Megawati Soekarnoputri, PDI-P sudah tentu memiliki pertimbangan yang matang dengan memilih Jokowi sebagai bakal calon presiden.
 
"PDI-P sudah menjadi parti pembangkang selama 10 tahun. Pasti (PDI-P) mempunyai pendapat tersendiri kerana mencalonkan gabenor (Jakarta) yang baru terpilih untuk menjadi calon presiden. Saya yakin (PDI-P) ada strategi," katanya.

Nasdem, PDI-P, Pemilu, Surya Paloh, Joko Widodo

Artikel Lain