suria

Jurugambar Wanita Dari Jerman Ditembak Mati Di Afghanistan

Kathy Gannon (paling kiri) dan jurugambar veteran AP Anja Niedringhaus, (tiga, kanan), bergambar bersama askar-askar Pakistan ketika membuat liputan di sana pada 2012. -foto AP
KHOST (Afghanistan): Seorang komander polis Afghanistan pada Jumaat menembak mati seorang jurugambar wanita Jerman yang bekerja untuk Associated Press (AP) pada malam menjelang pilihan raya presiden, dalam serangan yang turut mengakibatkan rakan sekerjanya dari Kanada cedera, menurut agensi berita tersebut.

Kedua-dua petugas media berkenaan ditembak di dalam kereta di daerah Tanai, wilayah Khost, di timur negara ini ketika mereka membuat laporan mengenai pengagihan kertas undi bagi pilihan raya untuk memilih pengganti kepada Presiden Hamid Karzai.

Insiden itu berlaku ketika Afghanistan menjalankan operasi keselamatan besar-besaran untuk melindungi pengundi dan pegawai pilihan raya, selepas Taliban berikrar untuk mengganggu proses pengundian pada Sabtu dengan keganasan.

Anja Niedringhaus adalah petugas media yang ketiga bekerja untuk media antarabangsa yang dibunuh di Afghanistan semasa kempen pilihan raya, selepas wartawan Sweden Nils Horner dan Sardar Ahmad dari Agence France- Presse.

"Anja Niedringhaus, 48, seorang jurugambar antarabangsa yang diiktiraf Jerman, terbunuh serta-merta," kata AP dalam satu laporan dari Kabul.

"Wartawannya, Kathy Gannon, telah mengalami kecederaan dan menerima rawatan perubatan. Beliau digambarkan sebagai berada dalam keadaan stabil dan bercakap dengan kakitangan perubatan."

Menurut AP komander polis melepaskan tembakan ketika dua petugasnya itu berada di dalam kereta dan mengikuti perjalanan dengan petugas pilihan raya untuk menghantar peti undi di bandar Khost.

"Ketika mereka duduk di dalam kereta menunggu konvoi untuk bergerak, seorang komander unit yang dinamakan sebagai Naqibullah berjalan menuju ke kereta, melaungkan 'Allahu Akbar ' dan melepaskan tembakan ke atas mereka di tempat duduk belakang," agensi berita berkata.

"Dia kemudian menyerah diri dan telah ditangkap."

Gabenor wilayah Khost Abdul Jabbar Naeemi dan pegawai-pegawai lain mengesahkan bahawa penyerang adalah seorang komander polis yang ditahan serta-merta selepas kejadian itu.

"Anja dan Kathy telah menghabiskan masa beberapa tahun di Afghanistan untuk membuat liputan mengenai konflik dan penduduk di sana," kata Editor Eksekutif AP Kathleen Carroll dalam laporan AP.

Presiden Hamid Karzai mengeluarkan kenyataan yang melahirkan ucapan takziah dan mengarahkan siasatan.

Artikel Lain