suria

Myanmar Haramkan Pengeksportan Balak Mulai 1 Apr

YANGON: Kerajaan Myanmar mengumumkan yang mereka akan mengharamkan pengeksportan kayu balak bermula minggu depan sebagai usaha untuk mengekalkan hutan negara itu yang semakin mengucup.

Hanya produk kayu yang ditambah nilai sahaja yang akan diberi kelulusan untuk eksport.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Perusahaan Perkayuan Myanmar, Kementerian Konservasi Alam Sekitar dan Perhutanan telah pun membuat peraturan baru yang mengharamkan semua bentuk pengeksportan kayu mulai 1 April. 

Berdasarkan data terbaru, keluasan hutan Myanmar telah menguncup dari 57.9 peratus pada tahun 1990 jatuh kepada 47.6 peratus pada tahun 2005.

Penjualan kayu jati yang bermutu tinggi dan juga lain-lain spesies kayu keras meningkat dengan mendadak sejak kerajaan meliberalisasikan ekonomi negara junta tentera itu.

Adalah dianggarkan yang Myanmar memperolehi pendapatan sehingga AS$569 juta dari eksport 1.24 juta tan kubik kayu pada tahun fiskal 2012-2013.

China, India dan Thailand adalah tiga negara pembeli utama kayu dari Myanmar.

Permintaan China untuk kayu mentah meningkat ekoran statusnya kini sebagai pengeluar perabot utama dunia.

Tetapi China sendiri telah mengharamkan penebangan pokok-pokok yang mempunyai nilai komersil yang tinggi pada 1998, sekaligus mencetuskan permintaan kayu jati dan kayu keras seperti kayu merah yang tinggi dari Myanmar.

Menurut rekod, 80 peratus daripada sumber kayu jati dunia disumbangkan oleh Myanmar.

Myanmar, China, Kayu Jati

Artikel Lain