suria

Proses Pendaftaran Pilihan Raya Thailand Dihalang Penunjuk Perasaan

BANGKOK: Anggota Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PRDC) membuat sekatan di balai polis Dindaeng pagi selepas tersebar berita bahawa Jatuporn Proman, pemimpin utama Baju Merah yang prokerajaan, berada di dalam balai polis itu untuk mendaftar sebagai calon pilihan raya 2 Februari ini.

Bekalan elektrik dan air ke balai polis itu dipotong dan sekatan itu dijangka berterusan sehingga tengah hari.

Terdapat tiga bunyi yang tidak dapat dikenal pasti menyerupai letupan ketika anggota PDRC berhimpun untuk mendengar amanat pemimpin mereka selepas bertemu dengan pegawai polis dan jawatankuasa pilihan raya.

"Ia hanyalah letupan alat transformer, jangan bimbang saudara saudari sekelian, tolong bertenang, jangan panik," seorang daripada pemimpin PDRC meminta penyokong mereka supaya bertenang.

Tiada tanda-tanda penunjuk perasaan berundur selepas berlaku letupan, sebaliknya mereka lebih bertegas untuk terus berada di tempat masing-masing. Hari ini hari pertama pendaftaran calon dalam sistem senarai parti itu yang dijangka berlangsung sehingga 27 Disember. Ramai wakil parti politik melapor diri di balai polis Dindaeng, yang pergi ke sana selepas tawar hati dengan penunjuk perasaan ketika mereka cuba mendaftar di stadium Thai-Jepun (Dindaeng), tapak asal bagi pendaftaran itu.

Wakil parti politik yang datang untuk mendaftarkan calon mereka masih berada di dalam balai polis sehingga tengah hari memandangkan laluan keluar masuk ke balai polis itu dihalang penunjuk perasaan.

"Di sini bukan tempatnya untuk pendaftaran parti politik. Kami bukanlah tidak menggalakkan pilihan raya, tetapi di sini (balai polis Dindaeng) bukan tempatnya untuk mendaftar," kata PDRC.

PDRC, kumpulan protes yang memberi tekanan kepada Kerajaan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra sejak beberapa bulan lepas, tidak mahu pilihan raya itu diadakan pada 2 Feb dan mahu ia ditangguhkan sehinggalah beberapa pembaharuan dilakukan terhadap sistem politik negara ini.

Bagaimanapun, mereka juga tidak mahu Yingluck menjawat sebarang jawatan dan mahu beliau digantikan oleh Majlis Rakyat.

Desakan mereka itu berjaya memaksa Yingluck dan kerajaan supaya membatalkan undang-undang Pengampunan yang dapat membantu kepulangan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, yang memilih untuk hidup dalam buangan di luar negara selama bertahun-tahun selepas disabitkan atas kesalahan rasuah.

Mereka turut memaksa Yingluck membubarkan parlimen selepas mereka mengepung Rumah Kerajaan, yang merupakan pejabat rasmi Perdana Menteri, awal bulan ini.

Parti Pheu Thai pimpinan Yingluck dan sekutunya masih menjadi pilihan untuk memenangi pilihan raya akan datang berikutan sokongan padu dari bahagian utara negara ini, manakala pembangkang pula mendapat sokongan kuat dari Bangkok dan bahagian selatan negara ini. -BERNAMA

Artikel Lain