suria

1,250 Rakyat Malaysia Hadiri Pesta Durian Di Melbourne

MELBOURNE: Bau durian begitu ketara apabila kira-kira 1,250 rakyat Malaysia di Australia menikmati kelazatan "Raja Buah" itu pada Pesta Durian di sini malam Isnin.

Untuk menjayakan pesta ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuat penghantaran khas durian jenis D24 dan "Musang King" atas permintaan Konsul Jeneral Malaysia di sini.

Pesta berkenaan, yang berlangsung di Laman SP Setia Bhd di St Kilda Road di sini, turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

"Bagi rakyat Malaysia, durian lebih daripada sejenis buah, ia makanan istimewa kami," katanya.

Anifah, yang gembira dengan kehadiran begitu ramai rakyat Malaysia pada pesta itu, juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Australia kerana memberi laluan kepada hasil pertanian Malaysia seperti durian memasuki pasaran negara ini.

Hidangan istimewa Malaysia lain seperti teh tarik, roti jala, roti canai dan sate turut disajikan pada pesta ini.

Konsul jeneral Malaysia Datuk Dr Mohd Rameez Yahaya pula melahirkan harapan agar pesta ini dijadikan acara tahunan. - BERNAMA

Artikel Lain