suria

Hishammuddin Intai Peluang Perkukuh Hubungan Pertahanan Malaysia-Vietnam

KUALA LUMPUR: Usaha mewujudkan 'hubungan terus' antara Markas Wilayah Laut 1 di Kuantan, Pahang dan 'Vietnam Southern Command' dibangkitkan dalam pertemuan antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatannya dari Vietnam, Jeneral Phung Quang Thanh.

Hishammuddin berkata ia bertujuan memudahkan kedua-dua negara berhubung jika berlaku sebarang masalah di laut semasa operasi.

"Saya turut melahirkan hasrat supaya Malaysia dan Vietnam dapat bekerjasama untuk merealisasikan Kerjasama Industri Pertahanan Asean (ADIC)). "Ia bagi meningkatkan kebergantungan industri pertahanan dalam kalangan Asean dengan tidak lagi terlalu bergantung kepada sumber dari luar Asean," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Hishammuddin kini berada di Hanoi sempena lawatan kerja ke Vietnam setelah menamatkan lawatan kerja tiga hari ke China.

Ia merupakan lawatan sulung Hishammuddin ke Vietnam sejak memegang portfolio Menteri Pertahanan pada Mei lalu.

"Tujuan lawatan ini ialah untuk memperkukuh hubungan pertahanan dua hala antara Malaysia dan Vietnam," katanya sambil memberitahu ia berlangsung sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, iaitu sejak 1973.

Merujuk perbincangannya dengan Jeneral Thanh, beliau berkata kedua-dua pihak komited dalam usaha meningkatkan hubungan pertahanan sedia ada termasuk dengan mengadakan mesyuarat tahunan peringkat kerja dua hala.

Langkah lain ialah melalui pertukaran pegawai dalam latihan dan pendidikan, mengadakan eksesais bersama, meneroka bidang industri pertahanan dan kerjasama dalam keselamatan maritim.

Hishammuddin menarik perhatian bahawa Malaysia dan Vietnam telah menandatangani perjanjian kerjasama pertahanan pada 2008. -BERNAMA

Artikel Lain