suria

Jemaah Haji Tidak Perlu Bimbang Untuk Berwukuf Di Arafah Isnin Ini

MAKKAH: Kerajaan Arab Saudi menerusi pengurusan muassasah memberi jaminan kepada Tabung Haji (TH) untuk menyiapkan semua kerja pemasangan khemah di Arafah sebelum ketibaan jemaah haji pada Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sehubungan itu jemaah haji Malaysia tidak perlu bimbang mengenai persiapan logistik di Arafah ekoran berlaku hujan ribut dua hari lepas.

"Jemaah haji dan semua kaum keluarga mereka di Malaysia tidak perlu bimbang kerana semua khemah sedang dipasang dan kerajaan Arab Saudi menerusi pengurusan muassasah memberi jaminan kerja pemasangan itu akan siap sebelum ketibaan jemaah," katanya kepada pemberita selepas melawat persiapan logistik di padang Arafah dekat sini, Jumaat.

Beliau berkata hujan ribut di Arafah dua hari lepas sebenarnya perkara biasa menjelang hari wukuf malah dua buah masjid iaitu Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi menganjurkan solat hajat dan berdoa agar diturunkan hujan bagi membasahi tanah Arafah.

"Cuba kita bayangkan jika tanah di Arafah yang kering dan berdebu dipenuhi oleh berjuta-juta orang... disebabkan itu kita berdoa agar diturunkan hujan," kata beliau.

Jamil Khir juga kesal dengan khabar angin yang tersebar di tanah air kononnya kerajaan Arab Saudi telah menghalang jemaah haji memasuki tanah suci ekoran cuaca buruk dan banjir di Arafah.

"Alhamdulillah... kita ada dua hari lagi dan Insya-Allah persiapan berwukuf akan selesai. Kepada keluarga di Malaysia jangan risau, jangan dengar mana-mana khabar angin, mendengar laporan yang tidak munasabah kononnya banjir di Arafah," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati keadaan di Arafah kembali normal malah khemah untuk jemaah haji Malaysia telah lengkap dipasang dengan permaidani sebagai pelapik lantai dan kawasan sekeliling khemah dihijaukan dengan rumput.

Yang turut hadir melawat persiapan akhir kerja pemasangan khemah dan kemudahan infrastruktur di Arafah itu ialah rombongan pengurusan TH yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Paduka Ismee Ismail dan Ketua Rombongan Haji TH Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Rombongan itu kemudiannya diberi taklimat mengenai persiapan pemasangan logistik di Arafah oleh wakil pengurusan muassasah Arab Saudi Sheikh Tariq Shabana. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain