suria

Projek Tren Berkelajuan Tinggi Malaysia-Singapura Dimuktamadkan Pada Pemukiman Pemimpin

SINGAPURA: Pelan cadangan projek kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Singapura dan Kuala Lumpur, dijangka dipertimbang dan dimuktamadkan semasa Pemukiman Pemimpin awal tahun depan, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Husni Zai Yaacob.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya di Singapura, Lee Hsien Loong, yang bertemu setiap tahun pada Pemungkiman Pemimpin, dijadual bertemu sekali lagi awal tahun depan di Malaysia.

Pada mesyuarat terakhir mereka di sini Februari lepas, kedua-dua pemimpin mengumumkan persetujuan mereka untuk memulakan projek itu, yang apabila siap pada tahun 2020, memendekkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit.

"Projek kereta api berkelajuan tinggi kini masih di peringkat awal, dengan kajian teknikal sedang dijalankan, demikian menurut Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"SPAD berkata mereka sedang menganalisis kajian teknikal, dan diharapkan menjelang akhir tahun ini, mereka dapat berbincang mengenai aspek teknikal tren berkenaan bersama rakan sejawatan," kata Husni Zai kepada Bernama dalam satu temu bual di sini.

Beliau berkata projek ini sangat teknikal.

"Ini disebabkan ia melibatkan dua negara, jajarannya perlu dikenal pasti, stesen, dan sudah tentu sempadan negara, laluan yang akan digunakan, dari segi kos dan perkongsian kos.

"Jadi, ada banyak aspek sebelum kita boleh memuktamadkan rancangan dan mengemukakannya kepada pemimpin pada Pemukiman di Malaysia itu.

"Mudah-mudahan pada Pemukiman Pemimpin akan datang, kami berharap dapat membuat pertimbangan dan keputusan, kata Husni Zai.

Mengenai kemajuan RTS (sistem transit) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura, Husni Zai berkata: "RTS juga diteruskan, dengan aspek teknikal projek itu masih dikaji oleh kedua-dua pihak.

Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM), akan bertemu di Singapura pada 18 Oktober depan.

Terdapat lima kumpulan jawatankuasa kerja, dengan setiap satu membuat persediaan untuk mesyuarat berkenaan. Kumpulan kerja itu memberi taklimat kepada jawatankuasa berkenaan mengenai perkembangan terkini, termasuk RTS.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar akan menghadiri mesyuarat itu. - BERNAMA

Artikel Lain