suria

Delegasi Miss World Tiba Meskipun NGO Desak Pihak Berkuasa Batalkan Acara

JAKARTA: Meskipun mendapat bantahan serta desakan sejumlah badan bukan kerajaan (NGO) agar pihak berkuasa membatalkan penganjuran Miss World 2013, delegasi 130 negara dari seluruh dunia sudahpun tiba di sini bagi menyertai acara berprestij itu.

Wakil dari Israel bagaimanapun membatalkan penyertaannya kali ini.

Setiausaha Korporat badan penyiar rasmi stesen televisyen RCTI Adjie S. Soeratmadjie berkata penarikan wakil Israel sudah dijangka berikutan masalah mendapat kebenaran masuk ke Indonesia memandangkan kedua-dua negara tiada hubungan diplomatik.

Beliau berkata penganjur akan memastikan wakil negara lain tidak terpengaruh dengan keputusan Israel membatalkan penyertaan mereka.

Penganjuran Miss World 2013 di Indonesia dibidas banyak pihak di Indonesia yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia, kerana acara itu dinilai bertentangan dengan ajaran Islam.

Pada Khamis, lebih 1,000 penyokong pergerakan Islam mengadakan demonstrasi di sini bagi membantah penganjuran acara itu.

Bantahan pelbagai pihak dijangka akan terus berlaku menjelang pembukaan acara itu hujung minggu ini.

Menteri Agama Indonesia Suryadharma Ali sebelum ini meminta penganjur pertandingan agar mendengar nasihat pertubuhan agama Islam berpengaruh di Indonesia seperti Majlis Ulama Indonesia (MUI), yang pada minggu lepas mendesak Miss World tidak diadakan di negara ini meskipun kategori peragaan pakaian mandi ditiadakan.

"MUI telah menyatakan secara tegas pandangan bahawa pertandingan Miss World bertentangan dengan ajaran Islam, iaitu wanita Islam harus menutup aurat mereka," katanya.

Sementara itu, Adjie berkata sehingga kini, semua aktviti yang dirancang sepanjang pertandingan itu adalah mengikut jadual, bermula dengan perasmian Ahad ini.

"Sehingga kini tiada sebarang perubahan jadual dan agenda acara daripada penganjur. Semuanya mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata selain persiapan majlis pembukaan dan penganjuran aktiviti lain di Bali, penganjur juga sudah bersedia bagi memastikan malam kemuncak untuk mengumumkan Miss World 2013 pada 28 September di Sentul, Bogor, Jawa Barat, sudah mencapai 100 peratus. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain