Upacara Menaikkan Jalur Gemilang Di Melbourne - Dunia | mStar

Upacara Menaikkan Jalur Gemilang Di Melbourne

MELBOURNE: Upacara menaikkan Jalur Gemilang telah diadakan di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di sini sempena meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-56.

Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne Datuk Dr Mohd Rameez Yahaya berkata Malaysia telah berkembang pesat dan makmur sejak kemerdekaan dan kini menduduki tempat yang penting di pentas dunia.

Pejabat konsulat itu yang dibuka lebih dua tahun lepas, menjadi tumpuan rakyat Malaysia berurusan berkaitan imigresen, kebudayaan dan dokumentasi.

Melbourne, yang mendapat jolokan 'Bandaraya Paling Sesuai Didiami Di Dunia' oleh Economist minggu ini, menarik ramai warganegara Malaysia termasuk pelancong.

Dilaporkan terdapat antara 70,000 dan 80,000 rakyat Malaysia menetap di Melbourne serta lebih 8,000 pelajar.

Majlis Perniagaan Australia-Malaysia akan menganjurkan majlis makan malam di Hotel Marriott di sini yang dimiliki rakyat Malaysia pada 3 September ini untuk meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain