suria

Tiga Orang Awam Cedera Akibat Letupan Di Tempat Simpanan Gas

NARATHIWAT: Tempat simpanan gas petroleum cecair (LPG) sebuah syarikat di Daerah Muang, Narathiwat musnah dan tiga orang awam yang tinggal 1km dari tempat kejadian cedera terkena serpihan tong gas dalam satu serangan bom awal pagi Ahad.

Kekuatan bom itu menggegarkan Bandar Narathiwat yang terletak 4km dari tempat kejadian dan bunyi dentuman bom jauh didengar oleh penduduk di Jok Irong, 30 Kilomiter dari tempat kejadian.

Tong-tong gas telah melambung sejauh dua kilometer dan terjatuh atas bumbung rumah dan letupan itu juga menyebabkan cermin rumah pecah.

Dalam kejadian sekitar jam 2 pagi itu, antara 5-6 orang lelaki bersenjata telah meletupkan dua bom di tempat simpanan LPG setelah mereka mengikat kaki dan tangan pengawal-pengawal keselamatan yang bertugas, menurut seorang pengawal keselamatan.

Kajadian di tepi Jalan Pechakasem Pattani-Narathiwat di Kg.Kubang Ikan, Daerah Muang Narathiwat, dipercayai perbuatan puak pemisah.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat Mejar Jeneral Polis Vichai Kasemwong berkata, pihak polis menerima panggilan daripada pengurus syarikat, Warawood Prompech, 39, mengenai terdapat tiga bunyi letupan di syarikat beliau.

Beliau berkata, letupan itu telah menyebabkan kebakaran yang memusnahkan tempat simpanan gas LPG tersebut yang ketika itu menyimpan lapan tan gas LPG.

Enam kereta bomba mengambil masa sejam memadamkan kebakaran, tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain