suria

China Terbuka Untuk Rundingan Berhubung Pertikaian Tuntutan Di Laut China Selatan

BANGKOK: Walaupun pertikaian tuntutan bertindih wilayah di Laut China Selatan antara China dan beberapa negara Asean bukan merupakan isu antara kedua-dua pihak, tetapi pada hakikatnya ia mempunyai kesan terhadap hubungan China-Asean, kata Menteri Luar China, Wang Yi.

agi pihaknya, beliau berkata China sentiasa bersedia untuk menyelesaikan pertikaian menerusi dialog dan rundingan terus.

China sentiasa membuka pintu dialog dan rundingan serta meneruskan prospek keputusan menang-menang, katanya dalam ucapan pada perasmian Forum Peringkat Tinggi mengenai Ulang Tahun ke-10 Perkongsian Strategik Asean-China.

"Kami berharap negara lain yang berkenaan akan menunjukkan semangat yang sama, dan bekerja sealiran dengan kami, daripaada mengambil sebarang langkah yang boleh menyukar atau memburukkan keadaan, salah tafsir keadaan dan berulang kali membuat kesilapan," tambah Wang.

China dan rakan Aseannya seperti Filipina, Malaysia, Vietnam dan Brunei telah membuat tuntutan wilayah di Laut China Selatan.

Wang berkata China ialah negara bertanggungjawab dan mematuhi dengan ketat Deklarasi Prilaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC) yang ditandatangani pada 2002.

Beliau berkata China boleh bekerjasama dengan negara Asean bagi membincangkan secara serius dan berterusan dalam memajukan penubuhan kod prilaku (COC) di Laut China Selatan yang China dan Asean telah bersetuju untuk membentuk di bawah rangka kerja pelaksanaan DOC.

Ia merupakan proses yang berterusan untuk bergerak dari DOC ke COC, tambahnya.

Timbalan Perdana Menteri Thailand dan Menteri Luar Surapong Tovijakchaikul berkata beliau gembira Asean dan China telah bersetuju untuk memulakan rundingan secara rasmi di peringkat pegawai kanan bulan depan yang bertujuan membangun COC di Laut China Selatan.

"Kita perlu mengubah kawasan berkenaan dari lautan yang tidak berketentuan dan tidak dipercayai kepada lautan yang dikongsi kepentingannya dan kerjasama," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain